Rangka T-Rex ‘Gus’ cipta rekod, dilelong RM213 juta di Sotheby’s New York
NEW YORK – Rangka fosil Tyrannosaurus rex (T-Rex) berusia kira-kira 67 juta tahun yang dikenali sebagai ‘Gus’ mencipta sejarah apabila dijual pada harga rekod AS$50.1 juta (kira-kira RM213 juta) dalam lelongan di pusat lelongan Sotheby’s, di sini.
Harga tersebut menjadikan Gus sebagai fosil dinosaur paling mahal pernah dijual di lelongan, mengatasi rekod sebelum ini yang dipegang rangka stegosaurus ‘Apex’ yang dijual pada harga hampir AS$45 juta pada 2024.
Menurut Sotheby’s, pembida misteri yang menyertai lelongan menerusi telefon berjaya mengatasi enam pembida lain selepas persaingan sengit selama kira-kira 10 minit.
Harga akhir itu jauh melepasi anggaran awal antara AS$20 juta hingga AS$30 juta.
Fosil berkenaan ditemukan di sebuah ladang persendirian di South Dakota pada 2021 dan dianggarkan 61 peratus lengkap. Ia mempunyai panjang sekitar 11.6 meter (38 kaki), tinggi 3.8 meter (12.5 kaki) serta menampilkan tengkorak yang terpelihara dengan baik bersama beberapa tulang yang jarang ditemui.
Nama Gus diberikan sempena pemilik tanah asal, Gary ‘Gus’ Licking, yang meninggal dunia ketika kerja-kerja ekskavasi fosil itu masih dijalankan.
Bagaimanapun, penjualan itu sekali lagi mencetuskan perdebatan dalam kalangan ahli paleontologi mengenai pemilikan fosil yang mempunyai nilai saintifik tinggi.
Persatuan Paleontologi Vertebrata Amerika Syarikat menggesa pemilik baharu meletakkan rangka tersebut di muzium atau institusi awam supaya ia dapat diakses oleh penyelidik dan orang ramai, bukannya disimpan dalam koleksi peribadi.
Pakar berpendapat penjualan fosil penting kepada pengumpul persendirian boleh mengehadkan peluang penyelidikan saintifik, walaupun perdagangan fosil yang ditemui di tanah milik persendirian adalah sah di sisi undang-undang Amerika Syarikat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



