Tinggalkan kerjaya bank demi bantu usahawan kecil urus kewangan
KUALA LUMPUR – Ketika ramai menganggap kerjaya dalam sektor perbankan sebagai laluan hidup yang stabil dan selesa, seorang bekas pegawai bank memilih untuk meninggalkan dunia korporat selepas menyedari ramai usahawan kecil sebenarnya bergelut dalam diam.
Bagi Dennis How, pengalaman lebih 15 tahun berurusan dengan ribuan pelanggan korporat membuka matanya bahawa masalah utama kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana (SME) bukan sekadar kekurangan keuntungan, tetapi kelemahan mengurus aliran tunai dan merancang kewangan syarikat.
“Ramai pemilik perniagaan ada produk yang bagus dan pelanggan setia, tetapi masih gagal berkembang kerana tidak memahami cara mengurus kewangan syarikat secara sistematik,” katanya.
Dennis yang pernah menerima pengiktirafan sebagai Best Young Banker berkata, beliau sendiri menyaksikan syarikat yang mencatat keuntungan akhirnya berdepan masalah kewangan ketika perniagaan sedang berkembang.
Kesedaran itu mendorong beliau meninggalkan kerjaya perbankan dan menubuhkan 360 Consulting Group pada tahun 2017 bagi membantu usahawan memahami aspek pembiayaan, pengurusan tunai dan strategi kewangan yang lebih mampan.
Menurutnya, ilmu kewangan yang sering dianggap rumit dan hanya difahami institusi perbankan sepatutnya dapat diakses dengan lebih mudah oleh pemilik perniagaan kecil.
Sehingga kini, beliau dan pasukannya telah membantu lebih 3,000 syarikat daripada pelbagai industri memperkukuhkan struktur kewangan dan meningkatkan keupayaan mendapatkan pembiayaan.
Tidak terhenti di situ, Dennis turut menubuhkan 360 Business Academy pada tahun lalu sebagai platform pendidikan keusahawanan dan pengurusan kewangan bagi memberi pendedahan lebih meluas kepada usahawan tempatan.
Dalam tempoh setahun, lebih 2,000 peserta mengikuti program yang dianjurkan secara fizikal dan dalam talian melibatkan topik pengurusan tunai, pembiayaan bank serta pelaburan hartanah komersial.
Selain itu, beliau turut mengasaskan Bricksmania Asset Management yang memberi fokus kepada pembinaan aset dan pendapatan jangka panjang melalui pelaburan hartanah komersial.
“Matlamat saya bukan sekadar membantu syarikat mendapatkan pembiayaan, tetapi membantu mereka membina sistem pertumbuhan yang mampan.
“Bukan sekadar mencipta keuntungan, tetapi mencipta nilai jangka panjang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








