BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Keuntungan Co-opbank Pertama naik 5.6 peratus, cecah RM131.13 juta

KUALA LUMPUR – Co-opbank Pertama (CBP) optimis meneruskan momentum pertumbuhan apabila merekodkan keuntungan sebelum cukai RM131.13 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, disokong prestasi kukuh perniagaan perbankan dan Ar-Rahnu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, pencapaian itu merupakan peningkatan 5.6 peratus berbanding tahun 2024, selain menyaksikan jumlah aset meningkat kepada RM14.4 bilion.

“Bagi tahun kewangan 2025, Alhamdulillah kita mencatatkan keuntungan RM131 juta. Aset pula meningkat kepada RM14.4 bilion manakala pembiayaan mencecah RM1.94 bilion,” katanya pada sesi taklimat prestasi kewangan CBP semalam.

Baca juga : Wisma CBP mercu tanda baharu kejayaan bank koperasi Bumiputera

Menurut beliau, antara faktor utama yang menyumbang kepada prestasi itu ialah pertumbuhan perniagaan pembiayaan peribadi yang meningkat daripada RM400 juta kepada hampir RM700 juta, selain sumbangan kukuh segmen Ar-Rahnu.

Katanya, aset perbendaharaan bank juga mencatatkan jumlah sekitar RM3 bilion.

Dalam pada itu, Khairil berkata, CBP turut memberi penekanan terhadap pengurusan kos secara berhemah melibatkan kos operasi dan modal, di samping kos pendanaan yang berada pada kadar 3.54 peratus, lebih rendah berbanding tahun sebelumnya hasil beberapa inisiatif dalaman.

Beliau berkata, penarafan A3 oleh RAM Rating membantu bank mendapatkan kadar deposit yang baik daripada pendeposit, selain pengenalan aplikasi mudah alih HeloCBP yang meningkatkan ‘stickiness’ deposit.

“Projek sukuk dijangka direalisasikan selepas proses dokumentasi dan kelulusan syariah, sekali gus membantu memperkukuh kedudukan kecairan serta menstabilkan kos pendanaan,” ujarnya.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, Khairil Anuar berkata, CBP telah melancarkan pelan lima tahun baharu dikenali sebagai F30 bagi tempoh 2026 hingga 2030 selepas pelan terdahulu berakhir tahun ini.

Di bawah pelan tersebut, CBP menyasarkan keuntungan sekitar RM141 juta dengan jumlah aset mencecah RM15 bilion serta NPL dikekalkan di bawah dua peratus.

Jelas beliau, fokus utama kekal kepada perniagaan teras perbankan, namun bank itu akan mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan peribadi dan meneroka peluang baharu khususnya dalam perniagaan Ar-Rahnu termasuk gadaian fizikal, emas beli-belah serta peti simpanan selamat.

CBP juga melaksanakan projek perintis autofinance bagi kereta baharu yang setakat ini mencatatkan kira-kira RM2 juta dalam tempoh enam bulan pertama.

Dalam masa sama, bank itu bercadang memperluas fungsi aplikasi HeloCBP kepada segmen perniagaan dan telah mengemukakan permohonan berkaitan kepada BNM.

Menyentuh prospek 2026, beliau mengakui persekitaran ekonomi global yang mencabar serta perubahan peraturan berkaitan pembiayaan peribadi bakal memberi kesan kepada peluang perniagaan, namun yakin strategi, tenaga kerja dan sistem sedia ada mampu mendepani cabaran tersebut.

“Pendekatan kita adalah berkembang secara berhemah dan tidak terlalu agresif bagi memastikan kedudukan imbangan dan keuntungan kekal mampan,” katanya.

Mengenai dividen, beliau berkata, pihaknya perlu melalui proses kelulusan tadbir urus sebelum membuat pengumuman rasmi, namun optimis dapat menawarkan kadar yang kompetitif.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, CBP tidak mempunyai keperluan mendesak untuk membuka saham baharu memandangkan tahap modal dan kecairan ketika ini mencukupi bagi menyokong pertumbuhan perniagaan, dengan perancangan seterusnya hanya dijangka sekitar 2029 atau 2030 bergantung kepada perkembangan semasa.

Mengulas perniagaan Ar-Rahnu, beliau berkata, peningkatan harga emas memberi impak positif kepada transaksi, namun bank mengambil pendekatan berhati-hati dengan mengekalkan had pembiayaan pelanggan tunggal sekitar RM300,000 hingga RM350,000 bagi mengawal pendedahan risiko sekiranya berlaku penurunan harga emas.

“Emas kekal menjadi pilihan pelabur dalam keadaan ekonomi tidak menentu, namun kita perlu mengurus risiko dengan cermat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button