BERITA SEMASA

MAPIM sediakan juadah berbuka untuk jemaah haji, umrah

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) melancarkan inisiatif Iftar@Road2Haramain bagi menyediakan juadah berbuka puasa kepada jemaah haji dan umrah di Tanah Suci sepanjang Ramadan.

Program itu dijayakan dengan kerjasama Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Coffee Star, Aysar Sudee Sdn Bhd dan Aysar Arab Saudi dengan sasaran mengedarkan 10,000 pek makanan setiap hari.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan kebajikan jemaah negara ini terus terpelihara, terutama dalam perjalanan mengerjakan ibadat di Tanah Suci.

“Program itu bukan sekadar menyediakan makanan tetapi juga satu bentuk santunan kepada jemaah.

“Ia mencerminkan semangat persaudaraan Islam serta kepedulian kepada mereka yang beribadah di Tanah Suci.

Turut hadir wakil-wakil Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Coffee Star, Aysar Sudee Sdn Bhd, dan Aysar Arab Saudi

“Memberi makan kepada orang yang berpuasa adalah satu amalan besar pahalanya sebagaimana dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program itu dijalankan di beberapa lokasi strategik termasuk Lapangan Terbang Malaysia (KLIA & KLIA2), Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz (Jeddah) serta kawasan sekitar Makkah dan Jeddah.

Melalui inisiatif itu, para jemaah disajikan menu seperti nasi belauk dengan gulai kawah, masak hitam, sambal serta kopi khas Coffee Star.

Wakil dari Sudee dan penyedia dapur di Makkah, Aysar Saudi

Mohd Azmi berkata, penyediaan makanan iftar itu diuruskan oleh Aysar Sudee Sdn Bhd, gabungan syarikat Malaysia yang mengusahakan pes kering terkenal Sudee dan penyedia dapur di Makkah, Aysar Saudi.

“Dengan fasiliti dapur moden yang mampu menghasilkan 25,000 pek makanan pada satu masa, makanan boleh disediakan dalam tempoh singkat dan diberikan kepada jemaah dalam keadaan masih panas dan segar,” katanya lagi.

Dalam pada itu, MAPIM mengalu-alukan penyertaan lebih banyak pihak termasuk badan korporat, NGO serta individu dermawan untuk bersama menjayakan program ini melalui sumbangan dan penyertaan sukarelawan.

“Kami amat menghargai sebarang bentuk sokongan sama ada dalam bentuk kewangan atau tenaga kerana ia dapat memberi manfaat besar kepada ribuan jemaah di Tanah Suci,” katanya lagi.

MAPIM yakin dengan kerjasama erat semua rakan strategik dan masyarakat umum, Iftar@Road2Haramain mampu menjadi satu kejayaan besar dan membawa keberkatan kepada semua yang terlibat.

Orang ramai yang ingin menyumbang atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi MAPIM Malaysia menerusi saluran rasmi mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button