Masih belum selamat, orang ramai dinasihati tidak memakan kupang di Negeri Sembilan
PORT DICKSON – Larangan terhadap pengambilan kerang-kerangan (dwicangkerang) di perairan Port Dickson masih lagi dikuatkuasakan demi keselamatan pengguna dan orang ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, hasil terkini proses pemantauan dan analisis makmal yang dilakukan mendapati terdapat biotoksin melebihi dari kadar selamat dalam kupang di perairan itu.
“Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Negeri Sembilan akan terus melakukan analisis dari semasa ke semasa melalui ambilan sampel kupang dan air di perairan Port Dickson.
“Keputusan sampel berikutnya dijangka diketahui pada 26 April 2024,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 4 April lalu, DOF mengesahkan analisis terhadap kupang di perairan Port Dickson yang dijalankan oleh makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur terhadap sampel air dan kupang di perairan Port Dickson telah dicemari biotoksin berbahaya dan tidak selamat untuk dimakan.
Susulan itu, pihak DOF Negeri Sembilan telah meneruskan pemantauan berterusan dengan melakukan pengujian secara berkala mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) jabatan, termasuklah melalui Program Sanitasi Kerang-Kerangan Kebangsaan (NSSP) yang melibatkan sampel kerang-kerangan ternakan dan liar.
Dalam pada itu, kerajaan Negeri Sembilan menasihati para pengguna untuk terus mematuhi perintah larangan itu sehingga analisis makmal mendapati pengambilan dwicangkerang selamat untuk digunakan.
Selain itu, kerajaan juga meminta orang ramai untuk melaporkan kepada DOF Negeri/Daerah yang berdekatan jika melihat perubahan warna air laut yang mencurigakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








