BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki patahkan pengelap cermin ditahan polis

SEREMBAN – Individu yang dirakam melakukan perbuatan khianat dengan mematahkan pengelap cermin kereta oleh kamera papan pemuka di Jalan Dataran Sentral di sini, ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, suspek berusia 32 tahun itu berjaya ditahan kira-kira pukul 2.30 petang di sekitar Port Dickson.

Katanya, laporan mengenai kejadian itu diterima pihak polis daripada pengadu yang merupakan pemilik kenderaan jenis Perodua Alza pada 10 Julai lalu.

“Dalam aduan itu seorang wanita mengadu suspek bertindak merosakkan kenderaan miliknya dengan mematahkan pengelap cermin kereta yang diparkir dan ditinggalkan di lokasi.

“Wanita itu mendakwa cermin hadapan dan kedua-dua belah cermin sisi pecah manakala pengelap cermin hadapan serta belakang patah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Hatta berkata, berdasarkan siasatan polis daripada rakaman kamera yang dipasang di dalam kereta mangsa, polis berjaya mengenal pasti mangsa dan ditahan semalam.

“Turut dirampas adalah sehelai baju berwarna biru yang dipercayai dipakai ketika kejadian dan akan mengambil keterangan suspek mengenai punca dan motif kejadian,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat ke atas harta orang lain dan permohonan reman terhadap suspek dibuat pagi ini.

Sebelum ini, media melaporkan tidak tahu apa puncanya, seorang lelaki bertindak mematahkan pengelap cermin, cermin sisi dan cermin hadapan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Dataran Sentral 2, bersebelahan Seremban Gateway.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button