Krisis Adat Negeri Sembilan: UMNO gesa tubuh jawatankuasa pendamai
SEREMBAN – UMNO Negeri Sembilan menggesa penubuhan satu jawatankuasa khas pendamai bagi meredakan krisis adat dan perlembagaan negeri yang kini disifatkan semakin serius.
Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, jawatankuasa itu perlu dianggotai individu berpengaruh serta pakar dalam bidang adat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), selain bersikap neutral bagi mencari penyelesaian terbaik.
Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi memastikan krisis tidak berpanjangan serta mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat susulan ketiadaan penjelasan rasmi.
Pada masa sama, beliau menegaskan cadangan itu bukan bertujuan mencampuri urusan adat, sebaliknya selaras dengan peruntukan dalam UUTKNS 1959.
“Bagi saya, perlu ada tindakan segera untuk menyelesaikan krisis ini, antaranya mungkin dengan menubuhkan satu jawatankuasa khas pendamai.
“Jawatankuasa itu perlu dianggotai individu atau mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang adat serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Sementara itu dalam satu sidang media hari ini, Jalaluddin yang mengetuai 14 ADUN Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mengumumkan menarik sokongan terhadap Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Sikamat, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau menegaskan bahawa keputusan drastik itu dibuat secara sebulat suara setelah mengambil kira krisis yang melanda institusi adat dan perlembagaan di negeri tersebut.
Terdahulu, bekas Menteri Besar, Rais Yatim turut mencadangkan agar Menteri Besar, Aminuddin Harun memanggil semula Dewan Keadilan dan Undang (DKU) bagi meredakan keadaan.
Krisis berkenaan mendapat perhatian apabila timbul dakwaan melibatkan tindakan undang luak terhadap Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, selain isu pemecatan Undang Sungei Ujong.
Susulan itu, persidangan Dewan Undangan Negeri yang dijadualkan berlangsung selama empat hari turut ditangguhkan ke tarikh yang belum ditetapkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















