DAP Wangsa Permai Kepong sedia ‘gempur’ UMNO pada PRU akan datang
KUALA LUMPUR – DAP Cawangan Wangsa Permai Kepong yang mempunyai keahlian Melayu paling ramai menyatakan kesediaan untuk menggerakkan jentera parti bagi menghadapi UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ketuanya, Muhammad Najmi Samsudin berkata, gerak kerja itu bukan bertujuan untuk ‘berperang’ dengan UMNO, sebaliknya bagi memberi penjelasan kepada rakyat khususnya pengundi muda mengenai kedudukan sebenar DAP dalam landskap politik negara.
Menurut beliau, bukan sahaja di Selangor, malah cawangan berkenaan juga bersedia mengerahkan ahlinya ke seluruh negara sekiranya mendapat arahan daripada kepimpinan tertinggi parti.
“Bukan kita hendak perang dengan UMNO, sebaliknya Melayu dalam DAP bersedia untuk menjelaskan kepada rakyat bahawa DAP bukan musuh UMNO dan parti ini juga pernah berkorban demi kerjasama politik.
“Buat masa ini, kami hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke untuk memulakan gerak kerja ini, bermula di Selangor,” katanya dalam satu hantaran di Instagram DAP Wangsa Permai Kepong.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Anthony Loke pada Konvensyen DAP Selangor, baru-baru ini yang menyatakan bahawa parti itu tidak gentar untuk berdepan sebarang cabaran politik.
Kenyataan tersebut dibuat susulan tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang melepaskan jawatan Exco Kerajaan Negeri Melaka, namun mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Pemuda UMNO dengan menyatakan hasrat untuk menentang DAP secara terbuka.
Muhammad Najmi berkata, DAP akan terus konsisten mempertahankan prinsip perjuangan parti yang berteraskan kerjasama antara kaum serta konsep Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa.
Beliau turut menyifatkan usaha Pemuda UMNO menjadikan DAP sebagai sasaran politik sebagai tidak praktikal dan tidak membantu usaha memperkukuh perpaduan nasional.
“DAP pernah menunjukkan pengorbanan apabila memberikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua kepada UMNO atas semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan MADANI,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








