KJ buat kemunculan di Perhimpunan Agung UMNO, perwakilan bersorak
KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini dikejutkan dengan kehadiran bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Khairy Jamaluddin.
Khairy yang tiba pada awal pagi dilihat mengenakan baju Melayu putih lengkap bersamping sebelum memasuki dewan bersama barisan kepimpinan sayap Pemuda UMNO, termasuk Ketua Pemuda, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Kehadirannya disambut dengan sorakan dan tepukan daripada para perwakilan yang memenuhi ruang persidangan.
Penampilan beliau pada majlis pembukaan perhimpunan sayap Pemuda itu membangkitkan nostalgia dalam kalangan penyokong setianya, selain dilihat sebagai isyarat simbolik kepada hubungan yang kembali terjalin antara Khairy dan UMNO.
Untuk rekod, beliau digugurkan keahlian pada tahun 2023 selepas berterusan mengkritik pemimpin parti itu.
Dalam suasana politik semasa yang sarat dengan spekulasi dan persaingan, langkah Khairy memasuki Dewan Merdeka turut diiringi persembahan tradisional silat serta paluan gendang, menggambarkan sokongan akar umbi terhadap tokoh berpengaruh berkenaan.
Perhimpunan hari ini turut diserikan dengan kehadiran beberapa tokoh veteran UMNO antaranya Datuk Seri Nazri Aziz dan Datuk Mohd. Nazifuddin Najib, sekali gus mencerminkan keterbukaan parti terhadap penglibatan semula pemimpin lama.
Kehadiran Khairy pada perhimpunan tahunan ini berlaku ketika timbul pelbagai spekulasi mengenai hala tuju politik beliau dan kemungkinan kembali menyertai UMNO.
Meskipun tiada pengumuman rasmi dibuat berhubung status keahlian beliau, kehadiran itu dilihat sebagai perkembangan signifikan dalam landskap politik semasa parti berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








