BERITA SEMASA

Mahkamah arah dua defendan kemuka bantahan rasmi saman berkaitan Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan

SEREMBAN – Mahkamah Tinggi Seremban hari ini memerintahkan dua defendan dalam saman pemula berkaitan krisis adat Negeri Sembilan mengemukakan bantahan rasmi berhubung bidang kuasa mahkamah dalam tempoh tujuh hari.

Perintah itu dibuat Hakim Roz Mawar Rozain selepas mendengar bantahan awal daripada defendan pertama, Setiausaha Dewan Keadilan Undang (DKU), Raja Norazli Raja Nordin dan defendan kedua, Dewan Keadilan Undang Negeri Sembilan.

Dalam prosiding tersebut, peguam mewakili kedua-dua defendan, Steven Thiru membangkitkan isu bidang kuasa Mahkamah Tinggi untuk mendengar permohonan berkenaan mengikut Perkara 16(3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Saman pemula itu difailkan oleh Mubarak Dohak bersama lima lagi plaintif yang memohon deklarasi bahawa mereka sebagai Ahli DKU berhak memperoleh salinan Minit Mesyuarat Sidang Khas DKU di Istana Besar Seri Menanti pada 17 April lalu.

Mereka turut memohon perintah supaya defendan pertama dan kedua menyerahkan minit mesyuarat tersebut dalam tempoh tujuh hari bermula 5 Mei lalu.

Selain Mubarak, lima lagi plaintif ialah Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid.

Kesemua plaintif diwakili pasukan peguam diketuai Awang Armadajaya Awang Mahmud.
Mahkamah menetapkan 28 Julai depan bagi pendengaran hujahan bertulis afidavit daripada pihak defendan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button