Op Remove berjaya tangkap 11 ekor buaya
SARATOK – Operasi pengurangan populasi buaya di Sungai Batang Krian melalui Op Remove yang dijalankan selama 10 hari telah berjaya menangkap sebanyak 11 ekor buaya.
Operasi yang berakhir semalam itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta anggota RELA.
Inisiatif serta idea bagi mewujudkan Op Remove dicetuskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, bersama Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid, lapor Utusan Borneo.
Menurut Pegawai dari Pusat Khidmat ADUN Krian, James Jimbun, operasi itu membuktikan keberkesanan usaha pihak berkuasa dalam menangani isu keselamatan awam berkaitan populasi buaya.
“Tahniah atas kejayaan operasi pengangkapan buaya di Sungai Batang Krian yang berakhir hari ini (semalam),” katanya.
Beliau menjelaskan, operasi itu bertujuan mengawal populasi buaya di sepanjang sungai, bagi memastikan keselamatan masyarakat, terutamanya mereka yang menggunakan sungai dalam menjalankan aktiviti harian.
Op Remove turut memberi tumpuan kepada kawasan yang sering dilaporkan terdapat kehadiran buaya bagi mengurangkan risiko insiden tidak diingini.
Menurut James, penduduk digalakkan untuk berhubung dengan pihak berkuasa seperti SFC jika terdapat sebarang ancaman atau penampakan buaya di kawasan berisiko.
“Langkah sedemikian penting bagi tindakan segera dan bagi memastikan keselamatan masyarakat tidak terjejas,” katanya lagi.
Beliau turut berharap inisiatif seumpama itu akan diteruskan pada masa hadapan bagi mengekalkan keseimbangan ekosistem serta mengurangkan populasi reptilia berkenaan.
Selain pengawalan populasi, operasi turut memberi kesedaran kepada penduduk mengenai kepentingan mematuhi garis panduan keselamatan ketika berada berhampiran sungai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






