Warga emas cedera diserang buaya ketika menjala udang di Sungai Linggi
PORT DICKSON – Seorang warga emas cedera parah selepas diserang buaya ketika sedang menjala udang di tebing Sungai Linggi, Kampung Tanjung Agas, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, mangsa, Jaafa Hasan, 62, mengalami kecederaan serius pada kedua-dua kaki hingga ke paha sebelum berjaya menyelamatkan diri.
Anaknya, Nursyuhadah Jamaludin, 25, berkata, kejadian berlaku ketika bapanya melakukan rutin harian menjala udang di kawasan berkenaan.
“Memang rutin dia (mangsa) menjala. Itu hobi dia bila tiada apa kerja di rumah. Kadang-kadang dia menjala udang, kadang-kadang berkebun,” katanya memetik laporan Metro Online.
Menurutnya, ketika kejadian, mangsa dipercayai tidak menyedari kehadiran buaya di kawasan tebing sungai sebelum reptilia itu menyerang secara tiba-tiba.
“Dia tebar jala dekat tebing air. Mungkin dia tak perasan buaya itu ada. Buaya itu terus menyerang dia,” katanya.
Nursyuhadah berkata, bapanya sempat bergelut dengan haiwan berkenaan di dalam air sebelum berjaya melepaskan diri.
“Kalau difahamkan dia memang bergelut dalam air itu,” katanya.
Selepas kejadian, mangsa dilaporkan pulang sendiri dengan menunggang motosikal ke rumah abang saudaranya yang terletak 500 meter dari lokasi kejadian sebelum bantuan perubatan dipanggil.
“Mangsa kini dirawat di Hospital Port Dickson dan berada dalam keadaan stabil serta masih dipantau pihak hospital,” katanya.
Menurutnya lagi, kejadian itu dipercayai merupakan insiden kedua di kawasan sama selepas seorang lelaki turut diserang buaya minggu lalu ketika menjala di lokasi berkenaan.
Sementara itu, Ketua Kampung Tanjung Agas, Hairi Dahlan berkata, pihaknya telah memaklumkan kejadian tersebut kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.
Katanya, pihak PERHILITAN dijangka akan turun ke lokasi serta hospital bagi menjalankan siasatan dan mendapatkan maklumat berkaitan insiden tersebut.
Beliau turut memaklumkan kawasan Sungai Linggi sememangnya diketahui mempunyai kehadiran buaya dan beberapa insiden sebelum ini pernah dilaporkan berlaku di kawasan sama.
Sehubungan itu, penduduk dinasihatkan supaya menghentikan sementara aktiviti di tebing sungai bagi mengelakkan kejadian berulang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








