MARA taja pelajar cemerlang di BMI – Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menaja seorang pelajar cemerlang daripada keluarga miskin untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di British Malaysian Institute (BMI) melalui Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau dimaklumkan mengenai pelajar berkenaan yang memperoleh keputusan cemerlang SPM (9A) dan Asasi dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.87, namun terpaksa berhenti belajar kerana faktor kewangan.
Menurutnya, pelajar terbabit yang merupakan bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) terpaksa bekerja di kilang untuk menampung kehidupan keluarga selepas tidak menerima bantuan kewangan daripada universiti.
“Lebih menyedihkan apabila mengetahui pelajar ini berasal daripada keluarga susah. Ayahnya sakit manakala ibunya hanya bekerja membantu membungkus nasi lemak.
“Apabila beliau menerima emel bahawa pihak universiti tidak dapat menawarkan bantuan, dia mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pengajian di kampus induk walaupun memperoleh keputusan cemerlang di peringkat Asasi,” katanya melalui satu hantaran Facebook hari ini.
Tambah beliau, pihaknya sudah mengarahkan UMNO Bahagian membantu keluarga berkenaan dan berhasrat untuk berjumpa sendiri dengan pelajar itu bagi memujuknya kembali ke menara gading.
Katanya lagi, perbincangan bersama Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA selepas Subuh tadi turut bersetuju menawarkan laluan pembiayaan pengajian yang bersesuaian dengan pencapaian akademik pelajar itu.
“Sesungguhnya hanya dengan ilmu sahaja boleh mengubah kehidupan,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








