Tiada toleransi rasuah, individu berpengaruh juga tidak terkecuali – PM
KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk rasuah termasuk melibatkan individu berpengaruh atau berkedudukan tinggi, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan, prinsip akauntabiliti merupakan tunjang utama kepada pembinaan kredibiliti negara dan menjadi prasyarat penting bagi menjamin pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“Tanpa akauntabiliti, tiada kredibiliti. Tanpa kredibiliti, mustahil kita dapat menjamin pertumbuhan ekonomi yang berterusan,” katanya ketika berucap pada Forum Ekonomi Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Menurut Anwar, usaha membanteras rasuah tidak bersifat sementara atau sekadar memenuhi tuntutan persepsi, sebaliknya dilaksanakan secara berterusan dan menyeluruh.
Beliau memberi jaminan bahawa penguatkuasaan undang-undang akan dilaksanakan secara konsisten tanpa sebarang pengecualian, termasuk terhadap individu yang mempunyai pengaruh besar.
“Tidak akan ada toleransi terhadap rasuah dan tiada pengecualian kepada sesiapa pun,” katanya.

Anwar berkata, keyakinan pelabur asing hanya dapat dipulihkan apabila mereka melihat komitmen kerajaan dalam menguatkuasakan undang-undang secara adil dan telus tanpa pilih kasih.
Selain penguatkuasaan, beliau menekankan kepentingan reformasi institusi yang menyeluruh bagi memastikan integriti negara tidak bergantung kepada individu tertentu.
“Peraturan mesti mengatasi individu. Reformasi perlu dibina supaya kekal melangkaui kitaran politik,” katanya.
Forum Ekonomi Malaysia 2026 menghimpunkan pakar ekonomi dan pelabur antarabangsa bagi membincangkan hala tuju ekonomi negara serta strategi memperkukuh keyakinan pasaran global terhadap Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








