BERITA SEMASA

‘Selepas manusia berusaha, Allah sebaik-baik penentu’ – Syed Saddiq

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan kesediaan berdepan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini dalam perjuangan membersihkan namanya sejak enam tahun lalu.

Menerusi hantaran penuh emosi di Facebook, bekas Menteri Belia dan Sukan itu menyerahkan seluruhnya kepada Allah.

“Enam tahun saya melawan demi keadilan. Saya disiasat, didakwa sampai akhirnya di Mahkamah Rayuan, keadilan ditegakkan dengan keputusan sebulat suara 3-0. Saya dibebaskan sepenuhnya.

“Saya sudah berjuang sehabis baik. Saya mempertahankan keadilan sehabis baik. Kini saya serahkan semuanya kepada Allah kerana selepas manusia menghukum, Allah adalah hakim yang sebaik-baiknya. Doakan saya,” katanya dalam hantaran video berkenaan.

Hari ini Syed Saddiq akan mengetahui sama ada beliau kekal sebagai individu bebas atau berdepan hukuman penjara berkaitan pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon agar keputusan Mahkamah Tinggi dikembalikan, yang sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta terhadapnya.

Keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023 mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah, salah guna harta secara tidak jujur dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dana sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia, ARMADA.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah mencari jalan keluar menerusi kompromi politik atau keistimewaan tertentu.

“Esok (hari ini), saya akan sekali lagi bangkit, bukan untuk lari daripada sistem, bukan untuk meraih simpati, tetapi untuk mempertahankan nama, prinsip dan maruah saya.

“Saya hadapi semuanya secara berdepan. Saya berani melawan kerana saya yakin tidak melakukan sebarang kesalahan. Saya tahu kebenaran mesti dipertahankan walaupun jalannya panjang, pedih dan kadangkala sunyi,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia supaya tidak hilang keyakinan terhadap institusi kehakiman dan demokrasi negara.

“Kepada rakyat Malaysia, saya minta satu perkara. Jangan putus harapan terhadap negara ini. Terus bersuara, terus memperjuangkan keadilan walaupun kita terpaksa berdiri bersendirian,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button