Tarikh perkahwinan Syed Saddiq-Bella sudah ditetapkan
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan tarikh pernikahannya dengan penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, sudah dipersetujui kedua-dua keluarga, namun belum bersedia didedahkan kepada umum.
Syed Saddiq berkata, buat masa ini hanya ahli keluarga terdekat serta beberapa kenalan rapat dimaklumkan mengenai tarikh berkenaan sebagai menghormati kedua-dua belah keluarga sebelum pengumuman rasmi dibuat.
Perkara itu dikongsikannya dalam program audio siar BASScast yang dikendalikan bersama Bella, malam tadi.
Beliau turut memaklumkan majlis resepsi dirancang berlangsung di beberapa lokasi di Sabah dan Johor bagi memberi peluang kepada kedua-dua keluarga meraikan hari bersejarah itu.
Menurutnya, perancangan perkahwinan hanya dapat diteruskan selepas Mahkamah Persekutuan membebaskannya daripada pertuduhan yang dihadapi pada Isnin lalu.
“Sebelum ini kami tidak berani membuat sebarang perancangan selagi keputusan mahkamah belum diperoleh.
“Malah ada stesen televisyen yang bertanya bila perbincangan boleh dimulakan, namun kami terpaksa menangguhkannya,” katanya.
Mengulas hubungannya dengan Bella, Syed Saddiq berkata, tunangnya itu sentiasa berada di sisi ketika beliau berdepan pelbagai cabaran dan menjadi individu yang banyak memberi kekuatan sepanjang tempoh sukar dilalui.
Katanya, pengalaman bekerjasama di Semporna, Sabah membuka ruang untuk beliau mengenali Bella dengan lebih dekat, termasuk etika kerja serta komitmennya terhadap masyarakat dan keluarga.
“Saya dapat melihat sendiri etika kerja Bella yang sangat fokus dan komited terhadap setiap tugasan.
“Walaupun sibuk sebagai anak seni, Bella tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu, anak dan kakak. Dia juga sentiasa memikirkan cara untuk membantu masyarakat setempat.
“Itulah yang membuatkan saya semakin menghargai dirinya kerana Bella amat mementingkan keluarga,” katanya.
Sementara itu, Bella mengakui cabaran terbesar dalam hubungan mereka ialah membahagikan masa memandangkan kedua-duanya mempunyai jadual kerja yang padat dan berbeza.
Katanya, komitmen seni kebiasaannya berlangsung pada waktu malam, manakala Syed Saddiq pula banyak terikat dengan urusan Parlimen pada waktu siang.
“Masa adalah cabaran terbesar buat kami. Jika saya menjalani penggambaran atau rakaman lagu, kebanyakannya dilakukan pada waktu malam.
“Dia pula sibuk dengan urusan Parlimen yang biasanya selesai pada sebelah petang. Jadi kami sentiasa mencari ruang untuk meluangkan masa bersama,” katanya.
Dalam pada itu, Bella berkata beliau memilih untuk tidak melayan pelbagai fitnah dan kritikan yang dilemparkan terhadap dirinya, sebaliknya memberi tumpuan kepada keluarga, kerjaya serta menjaga kesihatan mental.
Menurutnya, melayan setiap kritikan bukanlah keutamaan kerana masih banyak perkara lebih penting yang perlu diberi perhatian.
“Ramai peminat meminta saya mengambil tindakan, tetapi bagi saya ia hanya membuang masa.
“Saya mempunyai anak-anak yang perlu dijaga, kerjaya yang perlu diutamakan dan pelbagai perancangan lain. Saya tidak mahu perkara negatif menjejaskan diri serta kesihatan mental saya,” katanya.
Bella turut menegaskan beliau tidak kisah menjadi sasaran kritikan terhadap dirinya atau penampilan, namun berharap keluarganya tidak dikaitkan.
Katanya, beliau berbangga dengan latar belakang keluarganya yang berketurunan Kadayan Brunei serta mempunyai susur galur dari Filipina.
“Saya bangga dengan siapa diri saya. Saya tidak kisah apa yang orang mahu katakan, tetapi jangan babitkan ibu bapa saya.
“Kita hanya hidup sekali, jadi lakukan perkara yang membawa kebaikan,” katanya.
Syed Saddiq dan Bella mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.
Bella sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dan pelakon Singapura, Aliff Aziz, pada 2016. Pasangan itu bercerai pada 2019 sebelum kembali rujuk dalam tempoh edah, namun bercerai kali kedua pada 13 Jun 2024. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







