Penyertaan anak Bella Astillah, Syed Saddiq dalam acara triathlon curi perhatian
DESARU – Penyertaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan kemunculan sulung anak Bella Astillah, Ayden Adrean, 8, berjaya mencuri tumpuan dalam International Multisport Coastal Fest 2025 yang berlangsung meriah di sini hari ini.
Syed Saddiq, yang kembali menyertai acara 113 Triathlon untuk tahun kedua berturut-turut itu, menyifatkan sukan ini bukan sekadar cabaran fizikal, malah perlu menjadi sebahagian daripada agenda kesihatan negara.
“Saya masih baharu dalam bidang ini, tapi saya semakin jatuh cinta dengannya. Saya datang untuk menyokong penganjur, rakan-rakan yang bertanding dan juga untuk mencabar diri saya sendiri,” kata bekas Menteri Belia dan Sukan itu yang mencatat masa 6 jam 14 minit 27 saat.

Beliau kini bersedia menghadapi dua perlumbaan utama akan datang iaitu IRONMAN World Championship di Nice, Perancis pada September ini dan IRONMAN Malaysia di Langkawi pada November.
“Sukan ini bukan sekadar hobi. Ia perlu jadi sebahagian daripada agenda kesihatan negara. Lebih 50 peratus rakyat Malaysia mengalami berat badan berlebihan, sepertiga obes dan lebih 30 peratus menghidap diabetes. Kita perlu bertindak dan acara seperti ini adalah titik permulaan yang baik,” tegasnya.
Sementara itu, sorakan paling gemuruh diberikan kepada peserta paling muda, Ayden Adrean, anak kepada pelakon dan penyanyi Bella Astillah, yang membuat penampilan sulung dalam kategori Super Sprint (300m renang, 10km berbasikal dan 2km larian).
Meskipun berdepan cabaran awal apabila pelampung keselamatan terlepas semasa renangan, Ayden tetap meneruskan perlumbaan dan berjaya menamatkan cabaran dengan penuh semangat, berbasikal dalam masa 47:36 minit dan larian 17:07 minit.
“Saya sangat penat masa berbasikal, tapi saya tak pernah putus asa. Ini pertandingan paling seronok pernah saya sertai,” katanya bangga.

Bella yang terharu di garisan penamat berkata: “Saya tak pernah paksa Ayden untuk sertai. Selagi dia minat, saya akan sokong. Saya sangat cemas bila dia tak muncul dalam bahagian berbasikal, tapi itu normal sebagai seorang ibu.”
Dalam acara utama 113 Triathlon, atlet Singapura Aaron Lee mencipta kejutan apabila muncul juara keseluruhan setelah menamatkan 2.25km renang, 90km berbasikal dan 21km larian dalam masa 4 jam 56 minit 15 saat.
“Ini kali pertama saya berlumba di Desaru. Bahagian larian sangat mencabar kerana cuaca panas, tapi saya puas hati dengan usaha saya,” kata Aaron, 27, yang juga seorang pembangun perisian.

Aaron yang hanya mula berlatih serius sejak Jun lalu tidak menyangka akan menang, namun tetap menganggap pengalaman di Desaru sangat berharga.
Edisi kali ini menyaksikan penyertaan lebih 900 peserta dari 25 negara dalam empat kategori iaitu 113 Triathlon, Olympic Distance, Sprint, dan Super Sprint.
Pengarah perlumbaan, Andy Foo menyifatkan ulang tahun ke-10 kejohanan sebagai pencapaian membanggakan.
“Dari permulaan yang sederhana, kini ia menjadi acara bertaraf antarabangsa. Melihat komuniti ini terus berkembang benar-benar memberi inspirasi,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








