BERITA SEMASA

Triathlon Desaru: Kesilapan teknikal punca Syed Saddiq dapat tempat ketiga

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kini mengakui terdapat kesilapan dalam Kejohanan Triathlon Antarabangsa Desaru 113 baru-baru ini yang menyebabkan beliau dianugerahkan tempat ketiga.

Dalam satu rakaman video yang dikongsi di media sosial, Syed Saddiq berkata, status beliau dalam triathlon tersebut kini telah ditukar kepada “DNF” (did not finish).

“Saya baru sahaja menerima pecahan terperinci bagi setiap pusingan di setiap pusat pemeriksaan daripada pasukan teknikal.

“Selepas menyemak semula data jam tangan pintar saya, terdapat kesilapan dan saya mengambil tanggungjawab penuh atas kesilapan itu,” katanya menerusi video dalam laman sosial beliau.

Beliau juga memohon maaf kepada komuniti triathlon dan mengakui beliau sepatutnya lebih berhati-hati.

“Ini adalah kesilapan jujur daripada pihak saya. Walaupun saya telah memeriksa masalah ini dua kali semasa perlumbaan dan memaklumkan kepada pasukan teknikal, sebagai peserta saya sepatutnya lebih bertanggungjawab,” katanya.

Syed Saddiq turut menyatakan bahawa beliau masih lagi baharu dalam kejohanan seperti itu dan berharap dapat memperbaikinya di kejohanan akan datang.

“Selepas berbincang dengan penganjur adalah lebih baik status saya ditukar kepada DNF. Mereka juga mengakui bahawa ini adalah kesilapan,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Muar itu hari ini tampil menafikan tuduhan tidak menggunakan laluan yang betul semasa menyertai Kejohanan Triathlon Antarabangsa Desaru 113 baru baru ini.

Dalam satu rakaman video yang dikongsi di media sosial, Syed Saddiq berkata, sepanjang pertandingan beliau memakai peranti yang merekodkan masa dan telah melalui semua ‘checkpoint’ yang ditetapkan.

“Sepanjang perlumbaan, saya memakai gelang buku lali yang merekodkan masa dan saya melalui semua pusat pemeriksaan.

“Apabila saya sedar saya tamat lebih cepat dari jangkaan pada laluan berbasikal, saya malah memeriksa dua kali dengan pasukan teknikal,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button