LUAR NEGARA

“Kenapa tutup aliran bahan api?” – Rakaman kokpit dedah detik cemas nahas Air India

NEW DELHI – “Kenapa awak tutup aliran bahan api?” – Itulah pertanyaan cemas yang dilontarkan oleh seorang juruterbang dalam detik-detik terakhir sebelum pesawat Air India terhempas bulan lalu, mengorbankan 260 nyawa.

Pendedahan mengejutkan itu terkandung dalam rakaman perbualan kokpit yang diperoleh penyiasat dan dilaporkan oleh Wall Street Journal (WSJ) semalam.

Rakaman itu menunjukkan bahawa Kapten Sumeet Sabharwal yang dipercayai mematikan aliran bahan api ke enjin pesawat Boeing 787 Dreamliner, hanya beberapa saat selepas pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad pada 12 Jun lalu.

nahas air india
Pesawat Air India penerbangan AI 171 yang terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad,.

Menurut laporan WSJ yang memetik sumber dekat siasatan awal oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat, Pegawai Pertama Clive Kunder yang sedang menerbangkan pesawat ketika kejadian bertanya kepada kaptennya mengapa suis bahan api dialihkan ke posisi cut off.

Kapten Sumeet dan Pegawai Pertama Clive masing-masing mempunyai rekod penerbangan 15,638 jam dan 3,403 jam.

Tanpa bekalan bahan api, pesawat yang dalam perjalanan ke London itu hilang daya tujahan, menyebabkan ia gagal mencapai altitud yang selamat.

Rakaman CCTV turut mengesahkan sistem tenaga kecemasan ram air turbine diaktifkan sejurus selepas pesawat berlepas iaitu petunjuk bahawa kuasa enjin utama telah gagal sepenuhnya.

Siasatan di lokasi nahas mendapati kedua-dua suis bahan api berada dalam posisi cut off, namun terdapat bukti bahawa kru cuba menghidupkan semula enjin sebelum pesawat menjunam pada ketinggian rendah.

Laporan awal Biro Siasatan Kemalangan Pesawat India (AAIB) yang dikeluarkan Sabtu lalu mengesahkan bahawa suis bahan api bertukar dari mod run ke cut off hanya sesaat selepas pesawat berlepas namun tidak menjelaskan bagaimana tindakan itu berlaku.

BACA : Suis kawalan bahan api dimatikan sebelum pesawat terhempas

Dalam kenyataan dalaman kepada kakitangan pada Isnin, Ketua Pegawai Eksekutif Air India, Campbell Wilson, menegaskan bahawa tiada kerosakan mekanikal atau isu penyelenggaraan dikesan pada pesawat terbabit. Semua pemeriksaan telah dilakukan mengikut piawaian ditetapkan.

Sementara itu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat dan Boeing dilapor mengesahkan bahawa sistem suis bahan api pada pesawat model Dreamliner adalah selamat digunakan.

Empat sumber dan dokumen yang dilihat agensi Reuters turut menyokong dapatan tersebut.

Setakat ini, AAIB India, Boeing, Air India dan Kementerian Penerbangan Awam India belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi susulan pendedahan WSJ.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button