‘Darah boleh diganti, nyawa tidak’ – PHM kongsi kisah petugas hospital urus mangsa tragedi RXZ
KUALA LUMPUR – Public Health Malaysia (PHM) berkongsi kisah menyayat hati di sebalik tragedi kemalangan membabitkan penunggang motosikal RXZ yang berlaku sempena sebuah acara permotoran hujung minggu ini, apabila kemasukan mangsa yang ramai memberi tekanan besar kepada petugas kesihatan.
Menurut perkongsian itu, Hospital Kemaman terpaksa menggerakkan pelbagai sumber secara serentak bagi mengendalikan lonjakan kes kecemasan termasuk penggunaan bekalan darah, perkhidmatan imbasan CT, pembukaan bilik pembedahan serta penglibatan kepakaran daripada beberapa jabatan.
Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Kemaman, Dr Mohamad Faizal Zulkhifli berkata, situasi berkenaan merupakan antara detik paling mencabar sepanjang bertugas di Jabatan Kecemasan.
“Berapa banyak beg darah habis. Berapa banyak CT dibuat. Berapa banyak bilik pembedahan perlu dibuka.
“Tapi tidak mengapa. Kami di Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa membantu walau sesusah mana sekalipun kerana semua sumber ini boleh diganti semula.
“Namun, berapa ramai kehilangan suami, ayah dan anak? Berapa ramai menjadi cacat?
“Yang ini tiada sumber kewangan atau masa yang dapat menggantikannya semula,” kata beliau memetik PHM menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan Ortopedik, Pembedahan, Radiologi, Anestesiologi dan Bank Darah yang bertindak pantas membantu menguruskan mangsa sepanjang operasi kecemasan itu.
Malah, selepas berjam-jam bertungkus-lumus merawat mangsa, beliau hanya sempat menikmati hidangan pertamanya pada hari berkenaan.
PHM berkata acara permotoran sepatutnya menjadi platform untuk peminat motosikal berkumpul dan berkongsi minat, namun kegagalan mengawal kelajuan, konvoi berskala besar serta amalan tunggangan berisiko boleh mengundang tragedi.
Menurutnya, walaupun hospital mampu menyediakan bekalan darah, membuka bilik pembedahan tambahan dan menggerakkan lebih ramai petugas kesihatan, kehilangan nyawa serta kecacatan kekal akibat kemalangan tidak mungkin dapat diganti.
“Di hospital, darah boleh diganti. Bilik pembedahan boleh dibuka. Pasukan tambahan boleh dipanggil.
“Tetapi nyawa yang pergi tidak akan kembali. Dan kecacatan kekal mungkin perlu ditanggung sepanjang hayat,” tegas PHM.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














