‘Downgrade’ kerjaya bukan tanda gagal tapi mungkin ‘upgrade’ ketenangan diri – PHM
KUALA LUMPUR – Penurunan jawatan, pertukaran tempat kerja atau kehilangan status yang pernah dibanggakan tidak semestinya mencerminkan kegagalan individu, sebaliknya boleh menjadi petanda seseorang sedang menyelamatkan diri daripada sistem kerja yang menekan dan memakan jiwa.
Public Health Malaysia (PHM) menerusi satu hantaran reflektif di media sosial mengingatkan masyarakat agar tidak terlalu cepat menilai mereka yang dilihat ‘downgrade’ dalam kerjaya, khususnya menjelang tahun 2026 yang dijangka terus mencabar dari segi tekanan hidup dan pekerjaan.
Menurut PHM, apa yang sering dianggap gagal oleh pandangan luar sebenarnya hanyalah kegagalan satu perkara iaitu sistem lama yang memaksa individu menanggung tekanan emosi, ketakutan berpanjangan dan kepenatan mental tanpa henti.
“Turun pangkat, tukar kerja, hilang jawatan yang orang selalu sebut, semuanya pedih kerana ia bukan sekadar tentang kerja tetapi menyentuh maruah, harga diri dan persoalan ‘aku dah sampai mana’,” menurut kenyataan itu.
PHM turut menegaskan, di sebalik persepsi negatif masyarakat, individu yang melalui fasa tersebut tetap memikul tanggungjawab yang sama iaitu bangun awal pagi, memikirkan bil, anak-anak serta ibu bapa sambil menahan suara dalam kepala yang bimbang akan pandangan orang sekeliling.
Namun, PHM mengingatkan bahawa penilaian orang luar tidak seharusnya menjadi kayu ukur utama.
“Biarkan orang bercakap, kerana mereka tidak hidup dalam badan anda.
“Mereka tidak tahu berapa lama anda menahan dada sesak, senyuman palsu dan ketakutan setiap kali telefon berbunyi,” jelasnya.
Menurut PHM, dalam banyak keadaan, apa yang kelihatan sebagai kemunduran di mata masyarakat sebenarnya merupakan peningkatan besar untuk kesejahteraan diri.
“Downgrade bagi orang lain boleh jadi upgrade untuk diri sendiri. Anda keluar dari tempat yang meragut ketenangan dan memilih hidup yang lebih waras, walaupun kelihatan seperti ‘turun’,” katanya lagi.
Sehubungan itu, PHM menyeru masyarakat agar menilai kejayaan bukan semata-mata berdasarkan gelaran atau jawatan, sebaliknya melalui kesejahteraan mental dan emosi.
“Tenang bukan hadiah untuk orang yang menang. Tenang adalah hak mereka yang masih memilih untuk hidup,” ujar PHM.
PHM mengakhiri kenyataan dengan satu persoalan yang disifatkan lebih jujur dan bermakna: sejak seseorang itu ‘turun’, adakah nafasnya kini terasa lebih lapang?
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






