Lapan maut pesawat pengebom AS terhempas sejurus berlepas di California
CALIFORNIA – Lapan individu terbunuh selepas sebuah pesawat pengebom B-52 Stratofortress milik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) terhempas sejurus berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Edwards di selatan California semalam.
Menurut laporan BBC News, nahas berlaku pada pukul 11.20 pagi waktu tempatan ketika pesawat itu sedang menjalankan misi ujian rutin.
Kemalangan tersebut mencetuskan kebakaran besar dengan kepulan asap hitam tebal yang dapat dilihat dari beberapa kilometer jauhnya.
“Pangkalan Tentera Udara Edwards mengalami satu tragedi yang amat menyedihkan dan kami kehilangan lapan rakyat Amerika yang hebat,” kata Kolonel James Hayes kepada pemberita.
Beliau berkata, mangsa terdiri daripada gabungan anggota tentera, kakitangan awam kerajaan dan kontraktor kerajaan yang berada dalam pesawat berkenaan.
Menurut Hayes, pesawat itu menyokong program pemodenan radar pangkalan sebelum terhempas serta-merta selepas berlepas lalu terbakar.

Berdasarkan penilaian awal terhadap rakaman kejadian, nahas tersebut disifatkan sebagai ‘tidak dapat diselamatkan’ dan tiada mangsa yang terselamat.
Punca kemalangan masih belum dikenal pasti dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan.
Proses siasatan awal dijangka mengambil masa sehingga 30 hari, manakala analisis terperinci boleh berlanjutan lebih enam bulan.
Susulan kejadian itu, semua operasi penerbangan di pangkalan berkenaan digantung sementara, manakala pesawat yang dijadual mendarat diarahkan ke lokasi lain.
Pesawat Boeing B-52 Stratofortress yang mula digunakan oleh tentera AS sejak era 1950-an merupakan pengebom strategik jarak jauh yang mampu membawa muatan sehingga 70,000 paun termasuk bom konvensional dan peluru berpandu nuklear.
Pesawat itu juga mampu diisi bahan api ketika berada di udara, sekali gus membolehkannya melaksanakan misi jarak jauh tanpa had yang ketara.
Dalam konflik terkini antara AS, Israel dan Iran, B-52 turut digunakan dalam operasi pengeboman terhadap sasaran di Iran.
Pangkalan Tentera Udara Edwards terletak kira-kira 160 kilometer di utara Los Angeles, di kawasan Gurun Mojave.
Beberapa ahli politik AS turut menzahirkan ucapan takziah dan sokongan kepada keluarga mangsa serta pasukan penyelamat yang terlibat dalam operasi kecemasan susulan tragedi tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















