BERITA SEMASA

Bayi 4 bulan antara 6 sekeluarga diselamatkan bomba selepas terperangkap kepala air di Yan

YAN – Seorang bayi lelaki berusia empat bulan bersama lima ahli keluarganya berjaya diselamatkan pasukan bomba selepas terperangkap akibat fenomena kepala air yang menyebabkan limpahan sungai di Kampung Permatang Keramat, Jalan Batu Hampar, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farid Mohd Razali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada pukul 10.16 pagi sebelum sepasukan enam anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, setibanya di lokasi, pasukan penyelamat mendapati berlaku fenomena kepala air yang menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan kampung sehingga mengakibatkan enam mangsa berusia antara empat bulan hingga 51 tahun terperangkap.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan memaklumkan limpahan air sungai telah membanjiri kawasan kampung dan terdapat mangsa yang terperangkap.

“Komander operasi yang tiba di lokasi mengesahkan berlaku fenomena kepala air yang menyebabkan air sungai melimpah masuk ke kawasan perkampungan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Farid berkata, operasi menyelamat dijalankan dengan menggunakan sistem tali bagi membolehkan anggota bomba menyeberangi kawasan yang ditenggelami air dengan selamat untuk mengakses mangsa.

Menurutnya, kesemua mangsa berjaya diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan.

“Mangsa terdiri daripada dua wanita berusia 37 dan 51 tahun, seorang lelaki berusia 28 tahun, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dan seorang bayi lelaki berusia empat bulan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mangsa kemudiannya diserahkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk tindakan lanjut.

Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada pukul 11.19 pagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button