Bomba guna pengusung kanvas turun jenazah lelaki obes hampir 200 kg
GEORGETOWN – Operasi menurunkan mayat lelaki obesiti seberat hampir 200 kilogram dari tingkat 14 Flat Padang Tembak, Ayer Itam, dijalankan oleh anggota bomba selepas mangsa ditemui tidak bernyawa di dalam kediamannya semalam.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis, pihaknya menerima panggilan polis pada pukul 5.59 petang untuk mendapatkan bantuan menurunkan mayat mangsa.
“Sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi. Pemeriksaan awal dilakukan dan anggota dilengkapi pakaian pelindung diri (PPE) sebelum menjalankan tugas,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Beliau berkata, proses membawa turun jenazah dilaksanakan menggunakan pengusung kanvas dan mendapat kerjasama penduduk setempat bagi memastikan kelancaran operasi melalui kemudahan lif bangunan.
“Tugas dilaksanakan dengan berhati-hati memandangkan keadaan fizikal mangsa serta lokasi kediaman di tingkat atas.
“Keselamatan pasukan dan penghuni lain juga diutamakan sepanjang operasi,” jelasnya.
Tambah beliau, jenazah kemudiannya diserahkan kepada pihak polis serta pasukan pengurusan jenazah untuk tindakan lanjut.
“Identiti mangsa tidak dapat dipastikan ketika operasi dijalankan, namun tiada sebarang unsur mencurigakan ditemui di lokasi,” ujarnya.
Difahamkan, mangsa berusia dalam lingkungan 50-an, tinggal bersendirian dan ditemui tidak sedarkan diri sekitar pukul 2 petang sebelum kejadian dilaporkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








