BERITA SEMASA

Zakat Selangor nafi terlibat kes penyelewengan RM230 juta

KUALA LUMPUR – Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) menegaskan tidak terlibat dalam kes penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khaidzir Shahari berkata, kes yang dilaporkan itu melibatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pengurusan zakat di bawah institusi berkenaan.

“Zakat Selangor menegaskan kes yang dilaporkan melibatkan sebuah NGO dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Zakat Selangor atau pengurusan zakat oleh institusi ini.

“Memandangkan siasatan masih berjalan, Zakat Selangor tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Zakat Selangor beroperasi sebagai institusi zakat rasmi negeri di bawah seliaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta tertakluk kepada undang-undang dan sistem tadbir urus yang menyeluruh.

Menurutnya, pengurusan dana zakat dilaksanakan melalui pelbagai lapisan audit dan pemantauan termasuk audit dalaman, audit luaran serta semakan pihak berautoriti bagi memastikan setiap dana diurus secara telus dan terkawal.

“Zakat Selangor mengekalkan pendirian tegas terhadap sebarang bentuk salah guna dana dan memastikan pengurusan dibuat mengikut rangka kerja yang ditetapkan,” katanya.

BACA JUGA: 

Tiga ditahan disyaki seleweng dana zakat RM230 juta

Seleweng zakat RM230 juta: 2 individu termasuk timbalan pengerusi NGO direman 4 hari

Penyelewengan RM230 juta NGO tidak libat dana institusi zakat – Azam Baki

Seleweng dana zakat RM230 juta: IKRAM rehatkan serta merta individu terlibat – Presiden

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi serta menunaikan zakat melalui platform yang sah.

Terdahulu, seorang timbalan pengerusi sebuah NGO antara tiga individu ditahan SPRM kerana disyaki menyeleweng dana kira-kira RM230 juta.

Difahamkan, dua lelaki berusia lingkungan 50-an dan 60-an ditahan antara pukul 3 hingga 5 petang dalam operasi di sekitar Lembah Klang, manakala seorang lagi berusia 50-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor kira-kira pukul 2 petang.

Siasatan awal mendapati kesemua suspek, termasuk dua pengarah syarikat, disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu antara tahun 2018 hingga 2024, dengan sebahagian dana dipercayai dipindahkan ke akaun syarikat untuk tujuan pelaburan dan kegunaan peribadi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button