BERITA SEMASA

NGO kecam Pasukan Petugas Pengurusan Krisis lewat bertindak bantu rakyat, peniaga

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pantau Masyarakat Kuala Lumpur (PPMKL) mengecam kelewatan Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dalam merangka pelan menyeluruh bagi membantu rakyat dan komuniti perniagaan menghadapi krisis semasa.

Dalam satu kenyataan hari ini, PPMKL mendakwa kelewatan tersebut bukan sekadar isu masa, tetapi mencerminkan kecuaian

dalam memahami realiti di lapangan ketika rakyat terus berdepan tekanan kenaikan kos sara hidup.

“Ketika rakyat bergelut dan peniaga kecil semakin terhimpit, PPPK masih gagal mengemukakan pelan yang konkrit serta berkesan. Ini menunjukkan kelemahan dari segi kecekapan, keutamaan dan tanggungjawab,” menurut kenyataan itu.

PPMKL turut menyatakan kebimbangan bahawa kelembapan berkenaan boleh menjejaskan imej dan kredibiliti Perdana Menteri dalam usaha memimpin negara menghadapi krisis secara tegas dan proaktif.

Menurut pertubuhan itu, ketidakselarasan dalam pelaksanaan dasar antara agensi kerajaan hanya akan menonjolkan kelemahan jentera pentadbiran, sekali gus menghakis keyakinan rakyat.

Dalam masa sama, PPMKL membandingkan situasi tersebut dengan tindakan pantas Kerajaan Negeri Selangor yang telah mengumumkan pakej pengukuhan daya tahan ekonomi sebagai langkah segera membantu rakyat.

“Ini membuktikan tindakan pantas adalah sesuatu yang mampu dilaksanakan. Kelewatan PPPK hanya memperlihatkan ketiadaan rasa mendesak dalam menghadapi krisis,” jelas kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, PPMKL menggesa kepimpinan PPPK agar bertanggungjawab sepenuhnya dan segera membentangkan pelan tindakan yang jelas, bersasar serta boleh dilaksanakan tanpa sebarang lengah.

Menurut mereka, sekiranya kelemahan tersebut berterusan, persoalan mengenai keupayaan dan kesesuaian kepimpinan PPPK untuk terus memegang tanggungjawab itu wajar dibangkitkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button