Tiga ditahan disyaki seleweng dana zakat RM230 juta
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan tiga individu termasuk seorang timbalan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.

Menurut sumber, dua lelaki berusia dalam lingkungan 50 dan 60-an itu ditahan antara pukul 3 hingga 5 petang dalam operasi sekitar Lembah Klang, manakala seorang lagi dalam lingkungan 50-an ditahan kira-kira pukul 2 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek, termasuk dua daripadanya yang merupakan pengarah syarikat, dipercayai bersubahat melakukan perbuatan itu antara tahun 2018 hingga 2024.
“Turut dipercayai, timbalan NGO berkenaan memindahkan dana berjumlah RM230 juta itu ke dalam akaun syarikat miliknya bagi tujuan pelaburan serta kegunaan peribadi,” katanya.
Tambah sumber, siasatan kini tertumpu kepada elemen penyelewengan dana awam memandangkan NGO tersebut menerima sumbangan orang ramai bagi membantu golongan memerlukan.
Dalam operasi sama, SPRM turut menyita 18 kenderaan mewah termasuk jenama Porsche dan Mercedes-Benz, selain rumah serta hartanah bernilai kira-kira RM11 juta.
Turut dirampas ialah pelbagai harta alih lain termasuk wang tunai dan jam tangan berjenama.
Selain itu, sebanyak 33 akaun bank melibatkan jumlah kira-kira RM120 juta turut dibekukan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, kesemua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok bagi permohonan reman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







