JENAYAH & MAHKAMAH

Mangsa tikam stabil, polis buru suspek lelaki

ALOR SETAR – Polis giat mengesan seorang lelaki yang dipercayai melarikan diri selepas terlibat dalam kes tikam seorang wanita di hadapan sebuah restoran di Titi Gajah, Kepala Batas, dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, suspek berusia 32 tahun itu dipercayai berada di dalam kereta bersama mangsa sebelum kejadian berlaku pada pukul 9.19 malam.

Menurut beliau, mangsa wanita berusia 35 tahun itu dipercayai ditikam di bahagian kanan leher ketika berada di dalam kenderaan miliknya sendiri.

“Suspek berada di tempat duduk sebelah pemandu semasa kejadian berlaku. Setakat ini kita belum dapat pastikan jumlah tikaman kerana mangsa masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah.

“Maklumat lanjut berkaitan kecederaan mangsa akan dikemas kini selepas rawatan selesai,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua individu terbabit saling mengenali dan dipercayai bekerja sebagai ejen hartanah.

Katanya, motif kejadian masih dalam siasatan manakala senjata yang digunakan belum ditemui setakat ini.

“Kita percaya kedua-duanya merupakan penduduk tempatan dan suspek melarikan diri sejurus selepas kejadian berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan tular di media sosial yang mengatakan mangsa meninggal dunia ketika dibawa ke hospital.

“Mangsa masih dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah dan keadaannya stabil,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek diminta tampil membantu siasatan polis.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button