BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Wanita, anak saudara parah ditikam abang sendiri

IPOH – Seorang wanita bersama anak saudara lelakinya cedera parah selepas dipercayai ditikam oleh abang kandung wanita berkenaan dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Bandar Baru, Kampar, semalam.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di ruang tamu kediaman dua tingkat yang didiami suspek bersama dua mangsa terbabit.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada mangsa wanita berusia 56 tahun pada pukul 7.35 malam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati wanita itu bersama anak saudaranya berusia 22 tahun dipercayai ditikam suspek sebanyak tiga kali pada bahagian leher kiri.

“Akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan serius dan kini dirawat dalam keadaan kritikal di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, suspek lelaki berusia 58 tahun yang tidak bekerja turut mengalami kecederaan pada tapak tangan kiri.

Siasatan lanjut mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada keadaan suspek yang mengalami halusinasi selain mempunyai rekod rawatan psikiatri sebelum ini di Hospital Fatimah.

Menurut Mohamad Nazri, suspek telah dirujuk ke Hospital Tanjung Rambutan bagi pemeriksaan lanjut.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button