Tikam isteri 13 kali sebelum bunuh diri
PETALING JAYA – Seorang lelaki disyaki menikam isterinya sebanyak 13 kali hingga maut sebelum ditemui meninggal dunia dalam kejadian di sebuah kediaman di SPK Damansara, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan seorang lelaki dan wanita warga tempatan yang terbaring tidak sedarkan diri dalam sebuah bilik pada jam 11.43 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi mendapati lelaki berusia 54 tahun dan wanita berusia 52 tahun itu ditemui berlumuran darah di atas lantai.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat satu kesan tikaman di bahagian leher suami.
“Manakala pada wanita itu terdapat 13 kesan tikaman iaitu 10 di leher, satu di tangan kiri dan dua lagi di bahagian badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur dan bedah siasat dijalankan pada jam 9 pagi tadi bagi mengenal pasti punca kematian.
‘Siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara pasangan suami isteri berkenaan.
“Dipercayai suami membunuh isterinya sebelum membunuh diri. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya lagi.
Ahmad Sukarno turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222 bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








