BERITA SEMASA

Kes Zara Qairina: Keluarga tahan diri keluarkan kenyataan, elak ganggu siasatan

KOTA KINABALU – Keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir memilih untuk menahan diri daripada mengulas lanjut hasil bedah siasat sementara menunggu laporan rasmi dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang percanggahan maklumat yang boleh mengganggu siasatan.

Dalam kenyataan bersama peguam keluarga, Shahlan Jufri dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi, mereka menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang telah mengarahkan polis memohon kebenaran menggali semula kubur Zara, sebelum menjalankan bedah siasat semalam.

“Kami juga berterima kasih kepada pihak polis yang mengawal rapi proses penggalian dan bedah siasat tersebut,” kata kenyataan itu.

Menurut mereka, seperti dimaklumkan peguam Shahlan sebelum ini, terdapat kecederaan yang ditemui pada tubuh arwah semasa bedah siasat.

“Namun, demi mengelakkan percanggahan antara laporan lisan yang diterima keluarga dan laporan rasmi bedah siasat yang bakal dikeluarkan pihak hospital, keluarga memutuskan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut berkaitan perkara itu,” kata kenyataan itu lagi.

Kematian tragis Zara Qairina membuatkan rakyat Malaysia terkesan dan menuntut keadilan sewajarnya dengan tanda pagar #JusticeForZara. – Foto Facebook Marhamah Rusli

Selain itu, keluarga Allahyarhamah turut mengucapkan terima kasih kepada semua individu, termasuk wakil media yang berada di tanah perkuburan dan persekitaran Hospital Queen Elizabeth I sejak pagi hingga malam bagi menyaksikan proses penggalian semula, pengebumian semula dan bedah siasat.

“Sokongan anda semua amat kami hargai,” kata mereka.

Terdahulu, proses bedah siasat semalam dilaksanakan atas arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menentukan punca sebenar kematian sekali gus melengkapkan siasatan polis.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button