Kes Zara Qairina: Beri ruang pihak berkuasa jalankan siasatan, jangan sebar spekulasi – INTELEK
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Intelek Wawasan Malaysia (INTELEK) menyeru rakyat Malaysia agar memberi memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung pemergian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir tanpa menyebarkan spekulasi atau mencipta naratif yang boleh mengganggu proses tersebut.
Penolong Setiausaha II INTELEK, Nurin Qasdina Hairolnizam berkata, siasatan terperinci sedang dilaksanakan dan tidak wajar dipertikaikan.

Ia berikutan dua pemimpin tertinggi negara iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah memberi jaminan bahawa keadilan akan ditegakkan.
“Kita semua mahu keadilan ditegakkan buat Allahyarhamah dan itu hanya boleh berlaku jika proses siasatan diberi laluan yang adil serta bebas daripada tekanan.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan seluruh rakyat Malaysia yang menjunjung tinggi proses keadilan dengan penuh kematangan dan tanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam menegakkan keadilan bagi adik Zara Qairina, selaras dengan prinsip ‘Keadilan Tanpa Kompromi’ yang menjadi asas siasatan semula kes tersebut.

Saifuddin pula memaklumkan bahawa pihak polis sedang memperkemas siasatan dengan meneliti semua bukti berkaitan, selain menegaskan tiada pihak akan terkecuali daripada siasatan demi memastikan proses berjalan dengan telus, adil dan saksama.
Pemergian adik Zara Qairina merupakan kehilangan besar, bukan sahaja buat keluarga dan rakan-rakan, malah bagi seluruh masyarakat yang mengikuti perkembangan kes ini.
Nurin turut menyeru semua pihak agar menjaga sensitiviti keluarga Allahyarham serta memberikan sokongan kepada pihak berkuasa agar siasatan dapat diselesaikan dengan lancar.
“Semoga roh adik Zara Qairina dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








