BERITA SEMASA

‘Tugas forensik cari keadilan untuk si mati, bukan sembunyi fakta’ – Doktor

KUALA LUMPUR – Prosedur bedah siasat perlu dijalankan dengan ketelitian maksimum demi memastikan keadilan untuk si mati, bukannya dipengaruhi atau diselewengkan hanya kerana tiada pemerhati bebas di bilik pembedahan.

Penegasan itu disuarakan Dr Muhammad Na’im Ab Razak yang membidas kenyataan aktivis Mona Din berhubung ketiadaan pakar forensik pemerhati bebas semasa proses bedah siasat jenazah Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir semalam.

“Perkara paling ditakuti mana-mana doktor forensik adalah apabila hasil bedah siasat mereka diragui di mahkamah, sekali gus menjejaskan keadilan untuk mangsa. Jika itu berlaku, kredibiliti kami dalam kes lain juga akan dipersoalkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau memaklumkan, bedah siasat tersebut diketuai pakar forensik berpengalaman luas yang pernah membangunkan perkhidmatan forensik di Sabah.

“Beliau pernah seorang diri menjalankan autopsi di seluruh Sabah dan melatih ramai pegawai perubatan yang kini menjadi pakar forensik disegani. Saya sendiri pernah dilatih dan bekerja rapat dengannya ketika mengetuai unit forensik,” katanya.

Kematian Allahyarhamah Zara Qairina secara tragis menyebabkan ramai pihak bersatu dalam menuntut keadilan buat arwah.

Muhammad Na’im menambah, nasihat tokoh tersebut adalah bahawa tugas doktor forensik ialah mencari keadilan untuk si mati yang tidak mampu membela diri sendiri.

“Orang boleh mencipta pelbagai naratif, namun kami berpegang kepada fakta. Dalam kes adik Zara, peguam keluarga turut dibenarkan hadir memastikan proses berjalan dengan betul. Takkanlah peguam keluarga pun menyeleweng?” tegasnya.

Proses bedah siasat semalam dilaksanakan atas arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menentukan punca sebenar kematian sekali gus melengkapkan siasatan polis.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button