BERITA SEMASA

Individu mohon maaf, jelaskan kekeliruan isu gali semula kubur Zara Qairina

SIPITANG – Seorang individu tampil memohon maaf dan memberikan penjelasan berhubung kekeliruan yang timbul semasa proses penggalian semula kubur Allahyarham Zara Qairina pada 9 Ogos lalu.

Menurut Safwan Ramlan yang mewakili ayahnya, Ramlan Mansor, penjelasan itu dibuat khusus kepada Sahibus Samahah Mufti Sabah dan Timbalan Mufti Sabah bagi memperbetulkan maklumat yang tersebar sebelum ini.

“Sepanjang proses tersebut, apa yang berlaku adalah berbeza daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak tertentu sebelum ini.

“Ayah saya sendiri berada di lokasi dan menyaksikan keseluruhan perjalanan penggalian,” jelas Safwan menerusi hantaran di laman sosial.

Sekitar kawasan pusara Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang selepas proses pengebumian semula dijalankan. – Foto Media Sosial

Katanya, kenyataan sebelum ini yang menyebut nama Mufti atau Timbalan Mufti sebenarnya merujuk kepada Wakil Mufti atau Timbalan Mufti dan pembetulan dibuat agar tidak timbul salah faham dalam kalangan masyarakat.

Safwan menegaskan, penjelasan itu dibuat bukan untuk melindungi mana-mana pihak, sebaliknya hanya bertujuan memberikan gambaran sebenar berdasarkan pengalaman ayahnya sendiri.

“Semoga penjelasan ini dapat difahami dengan baik dan kita semua dapat mengambil iktibar daripada kejadian ini,” ujarnya.

Semalam, Pejabat Mufti Negeri Sabah menegaskan mufti dan timbalannya tidak terbabit dalam proses penggalian semula jenazah pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir seperti yang didakwa di media sosial.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 46 saat di mana seorang penggali kubur mendakwa mufti dan timbalan mufti terhidu haruman pada jenazah berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button