Amin Idris mohon maaf, nafi dibayar dalam isu Zara
KUALA LUMPUR – Pempengaruh dan penceramah motivasi terkenal, Amin Idris memohon maaf kepada keluarga Allahyarham Zara Qairina susulan salah faham daripada kenyataannya mengenai isu buli membabitkan pelajar berkenaan baru-baru ini.
Dalam satu rakaman video di media sosialnya, Amin turut menafikan dakwaan menerima bayaran daripada mana-mana pihak untuk mencipta naratif tertentu berkaitan kes tersebut.

“Saya bersuara dalam isu ini kerana saya lantang menentang buli sejak dahulu lagi. Saya sendiri seorang ayah kepada dua anak perempuan dan isu ini sangat menyentuh hati saya.
“Demi Allah. Wallahi Wabillahi Watallahi, saya tidak pernah menerima sebarang bayaran walau satu sen pun,” tegasnya.
Menurut Amin, hantaran awal yang mengkritik pihak sekolah dibuat kerana rasa tanggungjawab sebagai seorang bapa namun disalah tafsir seolah-olah beliau mempersalahkan ibu bapa Zara.
“Saya tidak pernah berniat menuduh mereka. Atas rasa tanggungjawab, saya memadam posting tersebut bagi mengelak salah faham berterusan,” jelasnya.
Beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan kes tersebut.
“Contohnya ada yang menulis bahawa Kak Wana adalah warden, sedangkan itu tidak benar. Cerita-cerita rekaan tidak membantu malah hanya menambah kekeliruan,” katanya.
Amin turut menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar menambah baik keselamatan di asrama termasuk memasang CCTV di kawasan gelap dan tersembunyi.
BACA : Influencer tidak wajar sebar spekulasi isu diari Zara, perlu siasatan menyeluruh – Mona Din
“Kalau tidak ada peruntukan, KPM tolonglah keluarkan bajet khas demi keselamatan pelajar,” ujarnya.
Beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu memberi tekanan kepada pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menjalankan siasatan yang telus dan pantas.
“Kita ketepikan perbezaan, kita bersatu demi Zara. Kita hanya berpegang kepada fakta dan bukti agar arwah tidak meninggal sia-sia dan haknya terbela,” katanya.
Terdahulu, Amin dikecam netizen susulan penulisannya yang mengaitkan ibu bapa toksik dan membuli anak-anak di rumah mungkin menjadi akibat kematian Zara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







