BERITA SEMASA

Isteri saya bersara 8 bulan lalu, tuduhan yang kaitkan dengan tragedi menimpa Zara fitnah semata-mata – Mustapha Sakmud

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud menafikan sekeras-kerasnya sebarang dakwaan atau tuduhan yang cuba mengaitkan isterinya secara langsung atau pun tidak langsung dengan insiden tragik melibatkan kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan berkata, tuduhan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk mengaitkan isteri dan dirinya dalam insiden tragik itu adalah tidak berasas.

Malah beliau menegaskan tuduhan itu juga tidak mencerminkan akhlak seorang Muslim.

“Ia bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah mencemarkan reputasi individu yang tidak lagi terlibat dalam perkhidmatan awam.

“Untuk makluman, isteri saya, Cikgu Rosnih Nasir, merupakan bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar.

“Beliau hanya berkhidmat di sekolah tersebut dari 20 Mac hingga 22 November 2024 sebelum bersara sepenuhnya daripada perkhidmatan pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustapha Sakmud

Beliau berkata, selepas persaraan tersebut, isterinya tidak lagi mempunyai sebarang keterlibatan dalam urusan pentadbiran atau pengurusan sekolah, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

“Insiden tragik yang menimpa Allahyarhamah Zara Qairina berlaku pada 16 atau 17 Julai lalu, iaitu hampir lapan bulan selepas persaraan isteri saya.

“Maka, sebarang cubaan untuk mengaitkan beliau dengan insiden ini adalah fitnah semata-mata dan satu bentuk manipulasi politik yang tidak berasas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar mengamalkan prinsip tabayyun, menyelidik sebelum menuduh dalam menyampaikan sebarang kenyataan.

“Hentikanlah eksploitasi terhadap tragedi ini sebagai modal politik. Hormatilah proses siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan hentikan penyebaran fitnah yang boleh menjejaskan reputasi serta emosi individu yang tidak bersalah.

“Akhir sekali, saya dan keluarga merakamkan ucapan takziah yang setulusnya kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina. Kami mendoakan agar mereka dikurniakan kekuatan menghadapi ujian ini dan semoga keadilan dapat ditegakkan dengan sebaik-baiknya buat arwah,” katanya.

Zara Qairina yang juga pelajar Tingkatan Satu, ditemui kira-kira jam 3 pagi pada 16 Julai lalu, dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1 tengah hari keesokannya.

Semalam, pihak polis menyatakan masih menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button