Cikgu Mohd Fadli tegur penganjur: Jangan selit politik dalam himpunan Justice For Zara
KUALA LUMPUR – Aktivis pendidikan dan kemasyarakatan, Cikgu Mohd Fadli Salleh menegur penganjur himpunan Justice For Zara agar tidak menyelitkan agenda politik dalam program solidariti yang dianjurkan.
Menurut beliau, tujuan utama perhimpunan adalah menuntut keadilan terhadap arwah Zara dan mangsa lain yang berdepan isu buli serta penafian hak, bukannya medan untuk berucap politik.
“Bila anjurkan himpunan terbuka kepada awam, fokus pada point utama iaitu perihal buli, keadilan yang dinafikan, serta isu berkait dengan arwah sahaja. Tak perlu selit point politik. Jangan selit langsung!
“Nak selit ucapan politik, buat himpunan tertutup untuk ahli parti dan penyokong sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook semalam.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli berkata, himpunan di Sogo malam kelmarin pada mulanya berjalan dengan baik apabila dimulakan dengan bacaan Yasin dan doa, sebelum beberapa tokoh menyampaikan ucapan tentang isu buli dan keadilan.
Namun, beliau kecewa apabila ucapan politik mula diselitkan sehingga mengambil keputusan meninggalkan lokasi perhimpunan lebih awal.
“Aku turun malam tadi (kelmarin) niat untuk sokong solidariti untuk arwah Adik Zara. Aku yakin majoriti yang turun pun semua demi arwah, bukan nak dengar ceramah politik.
“Kalau selit isu lain, jangan marah kalau orang gelar penunggang isu,” katanya.
Beliau menambah, orang ramai turun dengan niat yang jelas iaitu menuntut keadilan untuk Zara, Faris dan mangsa-mangsa lain yang masih dinafikan hak mereka.
“Harap sangat perhimpunan Justice for Zara di banyak tempat, termasuk himpunan Justice for Faris di Kota Bharu, tiada agenda politik diselit.
“Buat himpunan tu biarlah niat betul-betul untuk keadilan buat mangsa,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








