Himpunan GARAH: Tindakan diambil untuk jaga ketenteraman awam – Fahmi
KUALA LUMPUR – Beberapa tangkapan dibuat malam tadi semasa Himpunan Gerakan Anti Rumah Ibadat Haram (GARAH) berikutan kebimbangan bahawa perhimpunan itu berpotensi menjejaskan keselamatan awam.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, hak rakyat untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan, namun hak tersebut tidak boleh disalahgunakan sehingga menjejaskan keselamatan awam, terutama ketika negara menerima kunjungan rasmi tetamu negara.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi satu mesej yang jelas, kita ada hak untuk berhimpun, kita ada hak untuk menyatakan pandangan dan menyuarakan apa yang terbuku di hati.
“Namun tidak sekiranya ia boleh mencetus kegentaran awam, merosakkan ketenteraman awam dan menggugat keselamatan, apatah lagi pada ketika kita menerima kunjungan rasmi tetamu negara,” katanya dalam sidang media sempena Hari Keselamatan Internet 2026 di sini, hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan menahan seramai 19 individu termasuk penyelaras GARAH, Zamri Vinoth dan Pengasas TanahMalaya.com, Tamim Dahari Abdul Razak berhampiran Kompleks Membeli-Belah Sogo, malam tadi.
Fahmi menegaskan, kerajaan mempunyai undang-undang sedia ada berkaitan isu rumah ibadat, dan sebarang pertindihan atau pelanggaran boleh diuruskan mengikut jalur undang-undang.
“Saya juga mengulangi apa yang telah banyak disebut Perdana Menteri berkaitan isu rumah ibadat. Sekiranya berlaku sebarang pertindihan, perselisihan faham atau pelanggaran, ikut jalur hukum, ikut undang-undang, jangan bersikap vigilante atau mengambil tindakan atas perasaan sendiri.
“Insya-Allah, sekiranya aduan dibuat dan undang-undang sedia ada terpakai, ia boleh diurus dengan baik.
“Mesej penting yang ingin disampaikan juga ialah kita tidak akan berkompromi dalam apa-apa perkara yang mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








