PEJUANG tuntut keadilan buat arwah Zara Qairina
KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Wilayah Persekutuan menuntut siasatan menyeluruh dan telus berhubung kematian tragis pelajar 13 tahun, Zara Qairina Mahathir yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolahnya di Papar, Sabah pada 17 Julai lalu.
Ahli Majlis Pimpinan Negeri Pejuang Wilayah Persekutuan, Noor Zarina Nordin berkata, kejadian berkenaan bukan semata-mata tragedi peribadi, sebaliknya mencerminkan kegagalan sistem dalam memastikan keselamatan pelajar di institusi pendidikan berasrama.

“Kes ini menuntut tindakan segera dan menyeluruh daripada semua pihak bertanggungjawab. Pejuang berpandangan siasatan perlu merangkumi semua aspek termasuk unsur buli, kecuaian pengawasan serta kelemahan prosedur keselamatan sedia ada.
“Kami menegaskan agar siasatan dijalankan secara profesional dan telus. Sekiranya terdapat pihak yang cuai atau bersalah, tindakan tegas perlu diambil tanpa sebarang perlindungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menzahirkan dukacita terhadap insiden menyayat hati itu dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Menurut beliau, PEJUANG menyokong penuh usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyiasat kes berkenaan dan dalam masa sama menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta pihak sekolah tampil memberi kerjasama sepenuhnya.
“Tiada sebarang maklumat harus disorokkan. Segala fakta yang boleh membantu proses siasatan wajib didedahkan demi keadilan untuk arwah dan keluarganya,” katanya.
Beliau juga menasihati orang ramai termasuk pengamal media agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau bersifat spekulatif yang boleh mengganggu siasatan dan menambah tekanan kepada waris mangsa.
“Kita harus memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara beretika dan profesional,” ujarnya.
Mengulas lanjut, PEJUANG turut mendesak agar KPM menyemak semula Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan asrama termasuk aspek keselamatan dan kebajikan pelajar.
Antara yang dicadangkan termasuk mewujudkan saluran aduan yang selamat dan sulit bagi membolehkan pelajar melaporkan sebarang insiden buli atau penderaan tanpa rasa takut.
PEJUANG juga menekankan keperluan sokongan kesihatan mental secara menyeluruh di sekolah-sekolah bagi membantu pelajar mengurus tekanan dan cabaran dalam persekitaran berasrama.
“Keadilan untuk Zara bukan sekadar menuntut jawapan dalam satu kes. Ia simbol perjuangan melindungi anak-anak kita daripada kecuaian dan pengabaian di institusi pendidikan.
“Kami tidak akan berdiam diri selagi kebenaran belum terbukti dan keadilan belum ditegakkan. Justice for Zara adalah keadilan untuk semua,” tegas Noor Zarina.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |















