Ibu Zara Qairina mahu perhimpunan aman ditangguh hingga inkues selesai
KOTA KINABALU – Ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat, 45, meminta semua pihak menangguhkan sebarang perhimpunan aman berkaitan kes anaknya sehingga prosiding inkues yang sedang berlangsung selesai sepenuhnya.
Permintaan itu disampaikan melalui barisan peguam yang mewakili keluarga, yang turut menzahirkan penghargaan atas sokongan masyarakat melalui himpunan solidariti Justice For Zara serta sumbangan dana bagi menampung kos perlantikan pakar pelbagai bidang.

“Terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan atas sokongan semua pihak. Namun, kami mohon sebarang perhimpunan aman ditangguhkan dahulu sehingga prosiding inkues ini berakhir,” menurut kenyataan bersama peguam Rizwandean M Borhan, Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Barisan peguam itu turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membuat ulasan di media sosial berhubung prosiding inkues atau keterangan saksi.
“Kami tidak mahu nama dan slogan Justice For Zara dicemari oleh tindakan pihak tidak bertanggungjawab.
“Kritikan dan komen yang tidak wajar boleh membawa risiko subjudis serta mengganggu perjalanan inkues,” kata mereka.
Mereka menjelaskan, perhimpunan solidariti boleh diteruskan selepas mahkamah menyelesaikan inkues sepenuhnya, sambil menyeru semua pihak memberi ruang kepada proses kehakiman berjalan dengan tenang.
“Dengan kesabaran dan kepercayaan kepada proses mahkamah, kebenaran akan terserlah dan keadilan akan dicapai,” ujar kenyataan itu lagi.
Prosiding inkues yang bermula 3 September lalu dijadual berlangsung selama 17 hari.
Sehingga semalam, enam saksi telah dipanggil memberi keterangan termasuk lawatan ke lokasi kejadian dan inkues akan bersambung Rabu depan dengan dua lagi saksi dijangka tampil iaitu seorang kanak-kanak serta seorang doktor perubatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







