BERITA SEMASA

Polis ingatkan penganjur himpunan bela kebebasan kehakiman patuh undang-undang

PUTRAJAYA – Polis mengingatkan penganjur perarakan dan perhimpunan membela kebebasan kehakiman yang dijadualkan berlangsung di Putrajaya, Isnin ini supaya mematuhi segala undang-undang ketika menyertai perhimpunan itu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pihaknya telah menerima permohonan Badan Peguam Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Rabu lalu, lapor BH malam tadi.

“Pihak polis sudah berjumpa dengan penganjur dan menasihatkan supaya tidak melanggar apa-apa peraturan atau kesalahan mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan 105 pegawai dan anggota untuk mengawal keselamatan di sekitar Istana Kehakiman dan jalan menuju ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya serta kawasan sekitarnya pada hari perhimpunan tersebut.

“Langkah ini diambil untuk memastikan keselamatan awam dan ketenteraman terjamin,” katanya dalam laporan tersebut.

Tambahnya, PDRM akan memantau, membantu perjalanan dan mengawal lalu-lintas demi keselamatan dan ketenteraman awam terjaga sepanjang perhimpunan ini berlangsung.

“Berdasarkan maklumat, perarakan ini akan bermula di Istana Kehakiman, Putrajaya sehingga penyerahan memorandum kepada wakli dari Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya,” katanya sambil menambah, pihaknya menjangkakan perarakan itu dijangka disertai sekitar 200 peserta.

Terdahulu dalam kenyataannya, Yang Dipertua Badan Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab, menegaskan perarakan itu adalah tindakan yang sah dari sisi undang-undang, aman dan bersifat simbolik dalam melaksanakan tanggungjawab sivik.

“Ia mencerminkan komitmen teguh profesion guaman dalam mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, doktrin pengasingan kuasa, dan kedaulatan undang-undang.

“Ia adalah kenyataan kolektif bahawa kebebasan Badan Kehakiman bukan sesuatu yang boleh dirunding, dan Badan Kehakiman mesti dilindungi daripada sebarang pengaruh luar, sama ada bersifat politik, badan Eksekutif, atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, perarakan itu bukan untuk membantah mana-mana individu, tetapi demi mempertahankan institusi.

“Bukan untuk kepentingan kita semata-mata, tetapi demi rakyat yang keadilan mereka wajib dipelihara oleh mahkamah,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button