Inkues kematian Zara Qairina dijangka berlarutan hingga selepas PRN17 Sabah
KOTA KINABALU – Inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir yang dijadualkan tamat pada 30 September, dijangka berlarutan sehingga selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah berikutan ramai saksi masih belum memberi keterangan.
Peguam Datuk Ram Singh berkata, jangkaan itu dibuat kerana terdapat tambahan saksi yang akan dikemukakan oleh pihak berkepentingan.
“Kami ada buat penilaian berapa ramai saksi lagi perlu dipanggil dan dalam hal ini kami mungkin tambah seorang lagi pakar.
“Peguam keluarga Zara juga ada sebut berapa saksi mereka mahu, ditambah lagi dengan peguam lain. Jadi, cara kes ini berjalan mungkin akan melangkaui tempoh pilihan raya, Disember pun tidak habis,” katanya.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijangka dibubarkan pada akhir Oktober atau awal November ini, sebelum tarikh tamat DUN yang dijadualkan pada 11 November.
Berikutan itu, PRN17 mungkin diadakan pada akhir November atau awal Disember, bergantung kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan tarikh penting proses pilihan raya selepas pembubaran DUN.
Rakan guaman Ram, Joan Goh berkata, berdasarkan analisis Koroner Amir Shah Amir Hassan, prosiding inkues baru mencapai 19 peratus setakat ini.
“Berdasarkan senarai saksi yang kita terima, sebab asalnya memang dijadualkan sampai 30 September, tetapi sekarang kita baru ada 14 daripada 68 saksi, jadi baru sekitar 19 peratus daripada kes ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








