JENAYAH & MAHKAMAH

Inkues Zara Qairina: Dr Jessie nafi dipengaruhi sesiapa ketika beri keterangan

KOTA KINABALU – Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu memberitahu Mahkamah Koroner, hari ini bahawa keterangannya dalam prosiding inkues kematian Allahyarham Zaea Qairina Mahathir tidak dipengaruhi mana-mana pihak berkepentingan ataupun pihak ketiga.

Dr Jessie berkata demikian menjawab ketika pertanyaan peguam Datuk Ram Singh yang mewakili salah seorang daripada lima remaja yang didakwa atas tuduhan membuli, lapor BERNAMA.

Ram: Jawapan kamu tidak dipengaruhi atau dikesani oleh dakwaan yang mengatakan ada VVIP atau pihak ketiga, hanya berdasarkan kepakaran?

Dr Jessie: Saya tidak tahu ada mana-mana VVIP atau pihak ketiga.

Dr Jessie yang sebelum ini memberi keterangan sebagai saksi pertama dalam inkues berkenaan dipanggil semula menyambung keterangan berkaitan simulasi yang diadakan pada prosiding ‘locus in quo’ di asrama sekolah yang turut dihadirinya, pagi tadi.

Dalam satu lagi soalan, Dr Jessie bersetuju dengan kenyataan Ram bahawa Zara Qairina dalam keadaan sedar ketika jatuh dalam insiden pada awal pagi 16 Julai lalu.

Beliau juga berpendapat agak sukar untuk menjatuhkan seseorang dalam keadaan tegak dengan mengangkatnya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ram: Adakah kemungkinan dia (arwah Zara) kena angkat dan dibuang ke tingkat bawah?

Dr Jessie: Ya, tapi orang yang angkat mesti posisikan badannya memanjang untuk menyamai di mana dia mendarat dengan kaki terlebih dahulu dari ‘ledge’ yang mana agak jauh.

Ram: Dalam kes ini, dengan ketinggian Zara 154 sentimeter dan berat 53 kilogram, berapa orang angkat?

Dr Jessie: Saya tidak tahu.

Ram: Adakah betul saya katakan apabila orang tidak sedarkan diri dan angkat orang pengsan, ia sukar diangkat?

Dr Jessie: Sukar untuk memegang badan dalam keadaan tegak untuk menjatuhkannya tepat seperti lokasi di mana dia dipercayai mendarat dengan kaki dahulu mendarat.

Ram: Ringkasnya Zara sedar dan berdiri tegak ketika jatuh, bukan tidak sedar?

Dr Jessie: Ya, likely.

Dr Jessie selesai memberi keterangannya, petang tadi

Prosiding bersambung esok dengan pengawal keselamatan asrama yang memberi keterangan bermula semalam mengenai insiden menimpa Zara pada 16 Julai lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button