Inkues Zara Qairina: AGC pantau media sosial
KOTA BHARU – Jabatan Peguam Negara (AGC) akan meneliti dan memantau media sosial jika terdapat hantaran yang mempertikai prosiding inkues kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, langkah itu bagi memastikan sama ada perbuatan itu menghina mahkamah atau tidak.
“Kita akan lihat dalam kandungan TikTok atau media sosial lain berhubung perkara berkenaan sebelum tindakan susulan diambil.
“Harapan kami kepada semua masyarakat, biarlah proses inkues berjalan dahulu sehingga selesai, jangan terburu-buru meninggalkan komen berhubung prosiding berjalan.
“Buat masa ini Pakar Patologi sedang memberikan keterangan, jadi orang luar tidak perlu pertikai sebaliknya tunggu prosiding selesai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Infrastruktur Awam Program Kampung Angkat Madani Jabatan Peguam Negara 2025 di sini, hari ini.
Mengenai pendakwaan individu yang dipercayai terlibat dalam kes itu, Mohd Dusuki berkata, AGC tidak bercadang mendakwa individu lain.
Setakat ini, katanya hanya lima pelajar perempuan yang didakwa berhubung kes berkenaan.
“Justeru, setakat ini tiada cadangan untuk menuduh mana-mana suspek sehingga prosiding inkues selesai. Selepas prosiding berkenaan selesai, kita akan melihat semula dan tindakan akan dilakukan berdasarkan hasil inkues,” katanya lagi.
Inkues selama 19 hari yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September serta 22 hingga 30 September dipengerusikan Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, yang bertindak selaku Koroner.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







