BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Rayuan AG berkaitan Titah Adendum Najib diputuskan pagi ini

PUTRAJAYA – Keputusan rayuan Peguam Negara bagi menghalang semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak berhubung Titah Adendum bakal ditentukan Mahkamah Persekutuan hari ini.

Keputusan penting itu akan diumumkan oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim.

Turut bersidang ialah Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah. Prosiding dijadualkan bermula pada jam 9 pagi.

Panel tersebut akan membuat keputusan sama ada untuk mengekalkan atau mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini mengembalikan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk dibicarakan.

Sekiranya rayuan ditolak, prosiding semakan kehakiman tersebut akan diteruskan di Mahkamah Tinggi berdasarkan tarikh-tarikh yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun, jika Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan yang dikemukakan oleh Peguam Negara, maka usaha Najib, 72, untuk meneruskan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah mandamus supaya dibenarkan menjalani baki hukuman penjara di kediamannya, akan terbatal serta-merta.

Pada 9 Julai lalu, mahkamah telah mendengar hujahan daripada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, selain peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.

Terdahulu pada 6 Januari, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perintah supaya kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button