Kota Kinabalu muncul hab utama Malaysia Timur
KOTA KINABALU – Batik Air terus memperkukuh peranan Kota Kinabalu sebagai hab utama penerbangan di Malaysia Timur apabila melancarkan dua laluan baharu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI), melibatkan penerbangan harian ke Kuching dan Sandakan.

Pelancaran itu sekali gus meningkatkan kesalinghubungan antara Sabah dan Sarawak, selain memudahkan pergerakan dalam negeri dengan menawarkan perjalanan lebih pantas dan lancar berbanding perjalanan darat yang panjang atau penerbangan transit.
Ketibaan penerbangan sulung Kuching–Kota Kinabalu disambut dengan sambutan tradisional di BKI, melambangkan kekayaan budaya serta keramahan masyarakat Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, pelancaran laluan baharu itu menandakan satu pencapaian penting dalam usaha syarikat menjadikan Kota Kinabalu sebagai pangkalan utama di Malaysia Timur.
“Laluan ini bukan sahaja meningkatkan kesalinghubungan serantau, malah membuka ruang kepada perkembangan baharu.
“Batik Air juga akan memperkenalkan penerbangan terus dari Kota Kinabalu ke Singapura bermula Februari tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, langkah berkenaan menyokong sasaran Visit Malaysia Year 2026, selain memperkukuh komitmen syarikat dalam menghubungkan komuniti dan merancakkan sektor pelancongan di Sabah serta wilayah sekitarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit berkata, penambahan jadual penerbangan itu membantu memenuhi permintaan perjalanan yang semakin meningkat antara bandar seperti Kuching dan Kota Kinabalu, di samping meningkatkan akses ke Sandakan yang terkenal sebagai pintu masuk kepada tarikan alam semula jadi dan hidupan liar Sabah.
“Penerbangan ini meningkatkan kemudahan pergerakan merentasi Borneo dan sejajar dengan inisiatif Explore Sabah 2026 yang menekankan kesalinghubungan sebagai asas kepada pengagihan pelawat, tempoh tinggal lebih lama serta pertumbuhan pelancongan yang seimbang di seluruh negeri,” katanya lagi.
Bermula 15 Disember 2025, Batik Air menambah tujuh penerbangan mingguan bagi laluan Kuching–Kota Kinabalu dan Sandakan–Kota Kinabalu, dengan kapasiti sebanyak 1,120 tempat duduk seminggu bagi setiap laluan.
Pelancaran itu merupakan sebahagian daripada peluasan rangkaian Batik Air, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara syarikat penerbangan yang berkembang pesat di rantau ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








