JENAYAH & MAHKAMAH

Inkues Zara Qairina: Darah pada tulisan tangan sepadan DNA Allahyarhamah

KOTA KINABALU – Kesan darah yang ditemui pada lembaran kertas mengandungi tulisan tangan Allahyarham Zara Qairina Mahathir disahkan sepadan dengan profil DNA remaja berusia 13 tahun itu, menurut keterangan Mahkamah Koroner hari ini.

Ahli kimia forensik, Nor Aidora Saedon, 52, dari Jabatan Kimia Malaysia berkata, kesan darah itu ditemui pada kertas bertanda ‘Y8’ (meliputi kawasan Y8(ii) hingga Y8(vii)) dan kertas bertanda ‘Y1’ (meliputi Y1(i) dan Y1(ii)).

Analisis profil DNA menunjukkan kesemua sampel itu sepadan dengan spesimen tulang bertanda ‘WK37’ yang berlabel ‘Zara Qairina Binti Mahathir’.

“Ini menunjukkan bahawa DNA yang dikenal pasti datang daripada individu yang sama,” kata Nor Aidora.

Beliau menambah bahawa kesan darah pada kertas berlabel WK15(9)(a) dan bukti DNA daripada buku berlabel WK13 juga sepadan dengan Zara Qairina.

Dalam prosiding pada 8 September lalu, pemeriksa dokumen, Nurul Atiqah Mohd Noh memberi keterangan bahawa tulisan tangan pada dokumen bertanda ‘Y1’ hingga ‘Y15’ serta ‘W1’ dan ‘W2’ konsisten dengan spesimen tulisan tangan Zara Qairina.

Beberapa lembaran itu turut menunjukkan kehadiran kesan darah.

Nor Aidora juga memaklumkan bahawa profil DNA campuran ditemui pada beberapa sampel termasuk Y8(i), beg alat tulis WK1(a), buku WK9 dan WK14 serta selimut WK27.

Zara Qairina
Allahyarhamah Zara Qairina.

Profil DNA menunjukkan Zara Qairina sebagai penyumbang utama manakala penyumbang minor lain tidak dapat dikenal pasti secara muktamad.

Beliau memberi keterangan bahawa kertas ‘Y1’ dan ‘Y8’ adalah padanan yang saling melengkapi manakala semua barang bukti diterima dalam keadaan bertutup, utuh dan berada di bawah pengawasan beliau sepanjang analisis.

Nor Aidora menjelaskan asas profil DNA kepada mahkamah, termasuk kepentingannya dalam mengesan identiti individu melalui 21 lokus genetik serta prosedur forensik yang digunakan di Makmal DNA Jabatan Kimia Malaysia yang diakreditasi antarabangsa.

Beliau menegaskan, sepanjang kerjayanya, beliau banyak menjalankan analisis DNA untuk kes forensik termasuk kes pembunuhan, rogol, paterniti, penculikan dan rompakan.

Tambahnya, keterangan beliau diterima di Mahkamah Tinggi, Sesyen, Majistret dan Mahkamah Syariah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button