Dua beranak mangsa terakhir tanah runtuh Kampung Cenderakasih ditemukan maut
KOTA KINABALU – Dua beranak yang menjadi mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di Kampung Cenderakasih, Kolombong, di sini, akhirnya ditemukan maut selepas hampir lima jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Mangsa, Maslina Abdul Halid, 29, ditemui pada pukul 3.40 petang tadi, manakala anaknya, Mohd Noriman Abdullah, 9, ditemukan lebih awal pada pukul 3.20 petang.
Dengan penemuan itu, kesemua tujuh sekeluarga yang tertimbus dalam runtuhan rumah akhirnya berjaya dikeluarkan pasukan penyelamat.
Terdahulu, lima mangsa lain ditemui antara pukul 12.30 tengah hari hingga 2.20 petang iaitu Husaima Sarabani, 50; dua beradik Mohd Ilham Abdullah, 2, dan Siti Khadijah Abdullah, 4; sepupu mereka, Mohd Izzan Gandi, 7; serta datuk, Abdul Halid Darak, 50.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, mangsa dipercayai tertimbus antara dua hingga tiga meter di bawah timbunan rumah, tanah dan sampah sarap tebal sekali gus menyukarkan pencarian.
“Kami terpaksa menggunakan tenaga manusia untuk menggali timbunan tanah dan sampah seberat 20 hingga 30 tan.
“Pasukan penyelamat berusaha menjejaki mangsa sebelum hari gelap sambil berharap tiada lagi runtuhan baharu berlaku,” katanya di lokasi kejadian, memetik laporan Metro Online.
Operasi SAR membabitkan 20 anggota bomba, 30 anggota polis dan 15 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz, pula berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.02 pagi sebelum jentera tiba kira-kira 20 minit kemudian.
Menurut laporan awal, sembilan mangsa dilaporkan tertimbus, namun dua berjaya diselamatkan orang awam manakala tujuh lagi ditemui maut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








