DXN teroka pasaran baharu ‘negara Stan’
CYBERJAYA – Serentak dengan penyenaraian semula di pasaran utama Bursa Malaysia, DXN Holdings Bhd (DXN) optimis untuk melebarkan sayap perniagaan di lebih 180 negara pasaran sedia ada dan terbaharu di Asia Tengah.
Pengasasnya, Datuk Dr. Lim Siow Jim berkata, sambutan baik di negara-negara Amerika Selatan seperti Brazil, Bolivia dan Peru membuka peluang kepada DXN meneroka pasaran di empat lagi negara iaitu Kazakhstan, Kyrgyzstan, Uzbekistan dan Tajikan.
“Tahun ini kami berjaya ‘membuka’ wilayah perniagaan di Asia Tengah dengan penerimaan yang cukup baik kepada produk berorientasikan kesihatan dan kesejahteraan kami.
“Kami yakin pasaran di empat ‘negara Stan’ ini mampu melonjak jualan DXN mengatasi pencapaian jualan tahun lalu sekaligus menambah keahlian global yang pada masa kini berjumlah 14.9 juta orang,’’ katanya pada sidang media di sini, baru-baru ini.
Kumpulan DXN mencatatkan peningkatan kira-kira 28.8 peratus dengan nilai jualan sebanyak RM1.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 28 Feb 2023.

Siow Jim berkata, hasil daripada pengembangan rantaian produk berkualiti dan ‘original’, pihaknya mensasarkan penguasaan sebanyak 15 peratus pasaran di rantau itu.
“Pada masa ini, negara-negara Amerika Selatan menyumbang kepada 50 peratus jualan global, 20 peratus dari negara Arab dan Afrika Utara manakala selebihnya di rantau Asia.
“Pengembangan rantaian bekalan bersepadu secara menegak juga bakal membuka gerbang kepada perluasan produk ke negara-negara berhampiran seperti Georgia dan beberapa negara di Eropah Timur,’’ katanya.
Jumaat lalu, DXN membuat kemunculan semula di papan utama Bursa Malaysia (IPO) pada nilai RM0.69 dengan jumlah pembukaan sebanyak 12.71 juta saham.
Mengulas mengenai penyenaraian semula itu, Siow Jim yakin saham DXN akan melonjak naik selepas pembelian saham syarikat yang diasaskan sejak lebih 30 tahun itu dari luar negara.
“Ini kali kedua DXN disenaraikan di Bursa Malaysia dan DXN kini berada dalam kedudukan kewangan yang lebih kukuh berbanding dahulu,” katanya yang yakin dapat memberikan pulangan dividen sebanyak 30 hingga 50 peratus kepada pemilik saham.
Untuk rekod, DXN telah disenaraikan di Papan Utama pada September 2003 dan dinyahsenarai pada Disember 2011. Selama bertahun-tahun, perniagaan DXN telah berkembang dengan berdaya tahan sejak penswastaan walaupun dengan penularan wabak Covid-19.
Sementara itu, ditanya mengenai faktor yang menyumbang kejayaan produk berkonsepkan jualan langsung itu, Siow Jim berkata, DXN dikenali kerana kopi campuran ekstrak Ganoederma atau Lingzhi yang mempunyai pelbagai khasiat kesihatan.
Faktor lain yang mendorong kepada penerimaan produk kopi (utama) di luar negara menurutnya adalah keunikan rasa tersendiri yang memperkenalkan kopi Malaysia sebagai satu identiti.
“Buat masa ini kami mempunyai 280 jenis produk (SKU). Selain 16 jenis kopi, kami juga dikenali dengan produk-produk lain yang berasaskan Ganoderma, Spirulina dan Noni (buah mengkudu).
“Operasi ladang dan kilang kami seluas 100 ekar di Bukit Wang, Jitra, Kedah ketika ini mampu menghasilkan 1 tan spirulina setiap hari menjadikan kami antara pengeluar nombor satu dunia,” kata graduan Indian Institute of Technology itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








