JENAYAH & MAHKAMAH

Inkues Zara Qairina: Tiga pakar forensik bebas teliti dokumen berkaitan hingga Jumaat

KOTA KINABALU – Tiga pakar forensik bebas hadir hari ini untuk memeriksa dokumen dan eksibit berkaitan inkues Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, sebagai usaha meneliti lebih mendalam bukti yang dikemukakan di mahkamah.

Peguam keluarga, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh berkata, tiga pakar itu ialah Tay Eue Kam, Dr Dzulkiflee Ismail dan Dr Wan Nur Syuhaila Mat Desa.

Eue Kam bertindak sebagai pemeriksa dokumen, manakala Dr Dzulkiflee dan Wan Nur Syuhaila merupakan pensyarah kanan dan penyelidik Program Sains Forensik Universiti Sains Malaysia (USM).

Pemeriksaan dijadual berlangsung mulai hari ini sehingga Jumaat.

Beliau menjelaskan, pasukan menggunakan peralatan seperti sinaran UV, inframerah dan pengesan elektrostatik untuk mengesan pengubahsuaian tulisan, selain alat pengesan cap jari.

“Minggu lalu, kami sudah ada seorang pakar yang meneliti tulisan tangan pada kertas dan buku bertanda.

“Minggu ini pula, fokus adalah analisis keseluruhan dokumen termasuk dakwat, pen yang digunakan serta sebarang tanda penghapusan atau penambahan,” katanya memetik laporan BH Online pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Sebelum ini, pakar Jabatan Kimia, Nurul Atiqah Mohd Nor telah meneliti 21 eksibit termasuk helaian koyak, buku, buku teks sekolah dan buku latihan.

Mohd Syarulnizam menambah, gaya tulisan Zara adalah tipikal kanak-kanak dalam fasa peralihan ke remaja, justeru lebih banyak sampel tulisan lama akan dianalisis untuk menentukan kesahihan dokumen.

Pasukan itu turut membeli beberapa replika buku Love and Peace yang dipercayai milik Zara dan telah ditandakan sebagai eksibit mahkamah.

Tujuannya ialah meneliti proses rekonstruksi helaian yang dikoyak serta mengesan sebarang helaian hilang atau ditambah.

Beliau turut menekankan kemungkinan gangguan terhadap buku-buku tersebut kerana ia sebelum ini mudah diakses oleh orang lain termasuk rakan sekolah.

Inkues yang memasuki hari ke-13 daripada 17 hari prosiding setakat ini telah memanggil 10 saksi untuk memberi keterangan.

Pasukan forensik bebas memberi perhatian khusus untuk menyusun dokumen mengikut kronologi bagi membantu mahkamah membuat penilaian menyeluruh terhadap bukti yang dikemukakan

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button